KERETA curi yang digunakan tiga suspek untuk menyamun. FOTO ihsan PDRM
Norashikin Leman


Shah Alam: Tiga lelaki yang dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan samun di sekitar daerah ini ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pagi tadi.

Mereka ditahan di Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36 dekat sini kira-kira, 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum melakukan intipan dan pemantauan.

Beliau berkata, semua suspek menaiki sebuah kereta curi jenis Proton Saga yang dilaporkan hilang di Kajang tahun lalu.

"Kita menyerbu mereka di satu lorong ketika mereka berhenti dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Semakan lanjut mendapati salah seorang suspek berusia 39 tahun dikehendaki polis berkaitan kes samun di Teluk Intan, Perak," katanya.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke IPD Shah Alam dan kenderaan itu dirampas.

Katanya, polis percaya suspek terbabit dalam beberapa kes samun di daerah itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 4:48 PM