Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkenan bersama Mohd Al Jufferi (kanan) dan Pandelela Rinong Pamg pada Anugerah Sukan Negara 2015 di PICC. FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Azlan Muhammad Zain


Putrajaya: Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari dan penerjun Pandelela Rinong dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2015 sebentar tadi.

Pada majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Al Jufferi muncul pesilat pertama negara meraih gelaran itu sejak ia mula dipertandingkan 50 tahun lalu dan membawa pulang RM20,000.

Dia mengenepikan Ooi Tze Liang (terjun), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling), Thor Chuan Leong (snuker dan biliard), Loh Jack Chang (wushu) dan Mohd Harrif Saleh (berbasikal).

Sepanjang tahun lalu, atlet dari Pahang itu meraih beberapa gelaran besar seperti Kejuaraan Silat Dunia kelas E Putra.

Sementara itu Pandelela Rinong pernah meraih gelaran 2011 dan 2013 sebagai Olahragawati Kebangsaan menepati ramalan mengenepikan lima calon lain.

Hadiah wang tunai, piala pusingan, piala iringan dan sijil disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Anugerah olahragawan dan olahragawati tahun lalu kebangsaan disandang jaguh bina badan Sazali Samad dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Senarai Penuh Pemenang Anugerah Sukan Kebangsaan 2015

Jurulatih lelaki kebangsaan - Nasri Nasir (silat)

Jurulatih wanita kebangsaan - Norshan Yoon (para olahraga)

Pasukan lelaki kebangsaan - Pasukan memanah lelaki compound (memanah)

Pasukan wanita kebangsaan - Pasukan memanah wanita compound (memanah)

Olahragawan paralimpik kebangsaan - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (para olahraga)

Olahragawati paralimpik kebangsaan - Filicia Mikat (para olahraga)

Olahragawan kebangsaan - Mohd Al Jufferi Jamari

Olahragawati kebangsaan - Pandelela Rinong Pamg

Kepimpinan Sukan

1.Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (pelayaran)

2.Datuk Yeoh Choo Hock (bola keranjang)

Tokoh Sukan

Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid

Tan Sri Dr M Jegathesan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 11:02 PM