SUASANA tenang dirasai saat melangkah masuk ke Astaka Morocco.
SUASANA tenang dirasai saat melangkah masuk ke Astaka Morocco.
KEUNIKAN seni bina Maghribi di Astaka Morocco.
KEUNIKAN seni bina Maghribi di Astaka Morocco.
ANTARA ukiran menarik di Galeri Fez.
ANTARA ukiran menarik di Galeri Fez.
UKIRAN gerbang di pintu masuk Private Zone adalah replika Aljaferia Palace di Zaragoza.
UKIRAN gerbang di pintu masuk Private Zone adalah replika Aljaferia Palace di Zaragoza.
RUANGAN Private Zone.
RUANGAN Private Zone.
Suliati Asri


Dari jauh pun, ia kelihatan seperti bangunan di negara Arab. Sebaik melangkah masuk ke kawasan astaka, pintu utama yang diperbuat daripada kayu berkualiti tinggi dan terukir indah cukup mempesonakan.

Air yang mengalir dalam kolam di laman bagaikan mengalunkan lagu selamat datang.

Serta-merta terasa kedamaian. Seni bina di seluruh tempat termasuk lantai dan dinding astaka ini persis membawa pengunjung ke negara yang terkenal dengan keunikan seni binanya, Maghribi.

Itulah yang pasti dirasai pengunjung saat berkunjung ke Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya.

Mengunjungi Astaka Morocco buat kali pertama menerusi Program Pahang Eco Fam Trip anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini, membuatkan penulis teruja dengan apa yang bakal diperlihatkan.

Pendek kata, tidak perlu terbang jauh ke Maghribi untuk menikmati dan merasai sendiri keindahan seni bina negara itu.

Mengimbau sejarah, Maghribi negara yang terbentuk sejak 8,000 Sebelum Masihi (SM) lagi dengan penduduk asalnya orang Barbar.

Sebelum kedatangan Islam pada kurun ke-7, Maghribi melalui banyak zaman penjajahan seperti daripada Empayar Cartage, Rom dan Byzantine.

Tokoh berjasa yang menyebarkan Islam di Maghribi ialah Moussa ibn Nosair yang juga dalam kalangan masyarakat Barbar.

Berdasarkan sejarahnya, sudah pasti keunikan seni bina di Maghribi mempunyai pengaruh daripada negara yang pernah menjajahnya.

Kembali kepada Astaka Morocco atau Moroccan Pavillion, ia gabungan seni bina terbaik di Maghribi dan Sepanyol.

Dibina pada 2004 dan siap sepenuhnya setahun kemudian, Astaka Morocco satu-satunya bangunan menggunakan sepenuhnya seni bina Maghribi di Asia Tenggara.

Menariknya, pembinaan Astaka Morocco hasil karya arkitek dari Malaysia manakala kontraktor dari Maghribi pula terbabit ketika pembinaannya dengan lebih 80 tenaga kerja didatangkan khas dari negara itu bagi menyiapkan bangunan ini.

Tidak hairanlah berada di astaka ini mencetuskan suasana bagai berada di Maghribi. Ini kerana seni bina Astaka Morocco hasil kompilasi dari beberapa tempat menarik di Maghribi dan Sepanyol.

Memulakan penerokaan, pengunjung disambut dengan gabungan seni bina yang boleh dilihat di Sepanyol seperti Granada, Cordoba dan Zaragoza di bahagian luarnya.

Gerbang besar di Public Zone juga cukup menarik dengan kayu diukir indah.

Public Zone adalah kawasan pertama yang akan dilalui pengunjung sebelum memasuki astaka. Falsafah asalnya, ia menjadi tempat penduduk setempat menjual hasil kraf, tanaman dan sebagainya pada zaman dahulu.

Gerbang besar di pintu masuk pula berfungsi sebagai benteng pertahanan kota daripada serangan musuh.

Memasuki Semi Public Zone, terserlah seni taman Islam dengan wujudnya konsep Charbagh. Char bermaksud empat manakala bagh bermakna taman. Konsep ini diamalkan kerajaan Parsi pada zaman Achaemenid.

Di dalam charbagh perlu mempunyai empat perkara penting iaitu pokok yang berbuah, berbunga, teduhan dan paling penting air. Ia juga sebenarnya interpretasi daripada al-Quran menceritakan mengenai taman di syurga.

Ukiran di pintu masuk Private Zone sebenarnya replika gerbang berasal dari Aljaferia Palace di Zaragoza. Di tengah-tengah kawasan ini juga terdapat replika The Lions Court of Alhambra di Granada tetapi Astaka Morocco tidak mempunyai patung singa mengelilingi air pancut di tengah-tengah laman.

Di sini juga terletak Mihrab Cordoba yang juga replika mihrab Masjid Mezquita di Cordoba.

Mezquita asalnya sebuah gereja yang dibeli Emir Abd ar-Rahman I sebelum mengubahsuainya menjadi masjid terkenal di Cordoba. Di sini juga terdapat galeri yang mempamerkan kehalusan dan kesenian seni bina Maghribi.

Empat daripada galeri itu mewakili bandar diraja di negara itu. Dua daripadanya mewakili bandar penting pada masa itu.

Memasuki Galeri Fez, ia galeri yang mewakili bandar diraja paling tua di Maghribi. Nama Fez diambil daripada sebilah kapak yang digunakan pemerintah pada masa itu untuk menandakan sempadan bandar berkenaan.

Di galeri ini juga terdapat replika pintu masuk masjid tertua di Fez iaitu Masjid Al-Qarawiyyin. Galeri Fez ini juga memberikan aroma cedar yang mengharumkan seluruh ruang bilik ini.

Beralih ke Galeri Rabat yang kini ibu negara Magh­ribi tetapi pusat ekonomi ­negara itu di Casablanca. Galeri ini memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan moukarness yang terdapat di silingnya.

Moukarness ialah seni ukiran tiga dimensi yang bukan sahaja untuk mencantikkan sesuatu kubah tetapi juga untuk mencetuskan gema di kawasan berkenaan.

Bilik Essouira pula replika Essouira iaitu bandar pelabuhan penting sebelum Casablanca. Bilik ini menjadi tempat perjumpaan pedagang yang berlabuh di kawasan itu.

Walaupun Maghribi di benua Afrika, kawasan pergunungannya diliputi salji. Oleh itu, di Bilik Rif-Atlas anda berpeluang melihat ruang tamu di kawasan pergunungan itu. Pada chandeliernya terdapat ayat al-Quran terpahat di atasnya.

Marrakesh pula bandar rempah-ratus terkemuka di Maghribi. Bandar ini terkenal sejak kewujudan jalan sutera dan menghubungkan antara China dengan benua Afrika.

Justeru, Galeri Marrakesh menggunakan warna merah yang menjadi kegemaran penduduk di sana.

Memasuki Galeri Maknes, ia memperlihatkan replika bandar diraja yang kurang terkenal. Galeri ini mempamerkan kehalusan moucharabieh pada dindingnya.

Keunikan moucharabieh di sini ialah gabungan ukiran kayu cedar dan kehalusan ukiran lepanya (plaster).

Mengunjungi Astaka Morocco sesuatu yang cukup menakjubkan. Terasa bagaikan berada di bandar utama Maghribi yang diketengahkan.

Lebih menarik, wangian semula jadi kayu digunakan mencetuskan aroma cukup mendamaikan.

Ia dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 5:02 AM