AZRAN (kanan) bersama selebriti Maya Karin.
AZRAN (kanan) bersama selebriti Maya Karin.
myMetro

Kuala Lumpur: iflix, perkhidmatan televisyen Internet Asia Tenggara yang bakal menyambut ulang tahun pertama akan memasuki pasaran Indonesia pada bulan depan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan iflix, Azran Osman-Rani berkata, kumpulan itu memeterai perjanjian perkongsian baru-baru ini dengan syarikat telekomunikasi terbesar negara itu, Telekomunikasi Indonesia (Telkom).

“Ia sebahagian usaha kumpulan meningkatkan asas pelanggan daripada lebih sejuta pada masa ini dengan kebanyakan mereka pengguna telefon pintar,” katanya.

Azran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif iflix Malaysia berkata, bagi masa depan, kumpulan itu menyasarkan untuk mempunyai asas pelanggan lebih daripada 25 juta di rantau ini.

Bermula dengan hanya 25 pekerja tahun lalu, iflix kini mempunyai lebih 100 pekerja dan berkembang ke Thailand dan Filipina.

Baru-baru ini, iflix dilaporkan merancang mengukuhkan kedudukan dengan menjalin perkongsian dengan syarikat telekomunikasi, bank dan pengeluar peranti.

Pada masa ini, iflix bekerjasama dengan lima syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia iaitu Telekom Malaysia, Digi Telecommunications, Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd serta PLDT di Filipina dan TrueMove H di Thailand.

iflix diasaskan oleh Catcha Group berpangkalan di Malaysia dengan kerjasama Evolution Media Capital dari Hollywood.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 6:58 AM