FOTO tangkap layar Facebook MAHB.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tergendala hampir dua jam sejak 8.20 pagi tadi sudah kembali beroperasi kira-kira 10.30 pagi ini.

Perkara itu dimaklumkan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dalam laman sosial Facebook (FB) sebentar tadi.

Kira-kira jam 8 pagi tadi, berlaku kesesakan penumpang luar biasa di KLIA apabila dua aerotrain menghubungkan terminal utama dan bangunan satelit mengalami gangguan.

Keadaan itu menyebabkan MAHB terpaksa mengangkut penumpang menggunakan bas berganti-ganti (shuttle) dari terminal utama ke bangunan satelit.

Setakat jam 11 pagi tadi, hanya sebuah daripada dua aerotrain kembali beroperasi manakala, perkhidmatan bas turut berfungsi seperti biasa.

MAHB juga menjangkakan kehadiran penumpang yang tinggi di KLIA bagi tempoh dua minggu akan datang berikutan musim cuti sekolah, justeru penumpang dinasihatkan tiba awal di lapangan terbang bagi mengelak kesesakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 11:40 AM