ALYAH cuba elak terlalu berkongsi hal peribadi untuk jaga hati banyak pihak.

Datin Alyah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mana-mana rakan media yang pernah terasa hati dan tersinggung dengan apa yang berlaku sepanjang dua tahun lalu.

Alyah, 35, berkata, dia mendapat kekuatan untuk berbuat sedemikian selepas bersendirian menguruskan kerjaya seninya sejak beberapa bulan lalu.

“Selepas insiden dua tahun lalu, saya dapat rasakan rakan media tiada di sisi.

“Saya juga manusia biasa yang ada ketika tidak menyedari apa dilakukan dan tidak pernah menjangka apa yang berlaku selepasnya.

“Sebenarnya, sudah lama saya mencari peluang untuk meluahkan perkara yang terbuku di hati,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik berjudul Engkau Milikku, baru-baru ini.

Malah, Alyah turut menangis apabila melihatkan sambutan dan sokongan yang diberikan pihak media terhadap majlis itu.

Alyah sebelum ini mendakwa segelintir pihak media memutar-belitkan kenyataannya berhubung masalah rumah tangga dengan pengarah dan penggubah muzik terkenal Datuk Ramli MS, dua tahun lalu.

Alyah berkata, dia mula sedar dan mengakui segala kesilapan yang pernah dilakukan selama ini sehingga membuatkan dia kurang mendapat perhatian segelintir media.

“Selama ini saya tidak pernah bersikap sombong, cuma disebabkan masalah yang pernah berlaku membuatkan semua ini terjadi. Apa yang saya perasan, setiap kali mengadakan acara tidak ramai rakan media yang hadir.

“Saya tidak pernah berniat mencari gaduh atau menimbulkan masalah dengan rakan media. Namun, tidak dinafikan ada beberapa perkara yang saya terlepas pandang,” katanya.

Usaha penyanyi lagu Kisah Hati ini untuk memohon maaf dibuat sejak awal bulan lalu dengan menghantar kiriman mesej kepada beberapa wartawan.

Alyah berkata, dia bersyukur apabila mesej yang dihantar dibalas dengan jawapan positif daripada mereka.

“Saya faham untuk memulihkan semula hubungan dalam tempoh yang singkat bukannya mudah. Saya tidak boleh memaksa media menerima saya dengan serta-merta.

“Cuma saya gembira dan tidak menyangka apabila mesej yang dihantar mendapat balasan. Saya sendiri menangis ketika menulis mesej itu. Saya dapat rasakan betapa besarnya kesilapan yang pernah dilakukan.

“Dalam perkara ini, saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Cukuplah dengan apa yang berlaku membuatkan saya belajar banyak perkara.

“Selepas ini saya berharap tidak ada lagi jurang antara saya dengan pihak media,” katanya.

Lebih berhati-hati

Apa yang berlaku selama ini membuatkan Alyah lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan atau perkara yang ingin dilakukan.

Seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi terlalu berkongsi mengenai hal peribadinya kerana perlu menjaga hati banyak pihak.

“Saya sedar kisah saya dengan suami antara faktor semua ini berlaku. Jadi, untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu bercerita mengenai kami.

“Kalau ada mana-mana rakan media yang mahu bertanyakan mengenai suami kepada saya, sebaik-baiknya bertanya terus kepadanya. Bukan apa, kadang-kadang ada perkara yang tidak sesuai untuk saya jawab,” katanya.

Alyah berkata, segala permasalahan yang timbul berlaku ketika dia berada dalam tekanan.

“Saya percaya sesiapa pun yang berada di tempat saya pasti mengalami perkara sama. Dalam pada saya berdepan masalah, saya dihujani persoalan sedemikian.

“Sehingga sekarang, saya sentiasa berdoa yang terbaik untuk semua pihak,” katanya.

Mengenai kerjaya nyanyiannya, Alyah kini muncul dengan single terbaru berjudul Engkau Milikku hasil ciptaannya sendiri.

Menariknya, lirik lagu ini diinspirasikan daripada kehidupan rumah tangga ibu bapanya.

“Saya mengambil semangat ibu bapa saya. Saya melihat perjalanan kehidupan perkahwinan mereka sehingga ayah saya meninggal dunia.

“Apa yang membuatkan saya kuat ialah ibu sentiasa berada di sisi ayah biarpun sebelumnya dia berdepan kesukaran. Malah, kesetiaan ibu sehingga ayah menghembuskan nafas terakhir memberi satu motivasi buat saya dalam melayari bahtera perkahwinan ini,” katanya.

Menariknya berkenaan lagu ini, ia diterbitkan bersama dengan video muzik yang menjalani penggambaran di Ladakh dan Agra, India.

Video muzik yang diarahkan Izwan Mokhtar ini menjalani penggambaran selama 10 hari bemula 3 April lalu.

Ia juga sudah boleh disaksikan di YouTube dan lagu itu boleh dibeli menerusi aplikasi iTunes. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:01 AM