ADA cara untuk kelihatan bergaya walau apa pun saiz badan anda.
ADA cara untuk kelihatan bergaya walau apa pun saiz badan anda.
Shuhada Mansor


Jangan berasa rendah diri atau kurang yakin jika anda berbadan besar. Mungkin ada ketika anda mengeluh kerana sukar mencari pakaian diinginkan bersaiz besar, namun banyak lagi boleh dicuba dan pelbagai pilihan pakaian menarik lain yang ada.

Gen Y faham keinginan remaja yang berbadan besar untuk bergaya. Di sini, kami kongsikan beberapa tip dan idea untuk anda cuba de­ngan kesesuaian sendiri.

ELAK PAKAIAN CORAK

Ada ketika kita berasakan pakaian dengan banyak corak kelihatan menarik untuk sesetengah orang, tapi jika anda berbadan besar, tidak disarankan untuk mengenakan pakaian jenis ini.

Gabungan pakaian yang terlalu berwarna-warni juga akan menampakkan gaya kelihatan aneh dan serba tak kena.

Jika mahu dilihat anggun dan elegan, gayakan stail yang lebih minimal dan jika mahu cuba pakaian berwarna, padankan dengan pakaian lain tona gelap. Paling utama, pilih corak vertikal bukannya horizontal.

TIDAK UNTUK ‘BOY SHIRT’

Jika kegilaan anak gadis kini untuk mengenakan baju kemeja-T atau jean dipanggil ‘boyfriend T’ atau ‘Boyfriend Jeans’, lebih baik anda hindarinya.

Bagi individu berbadan besar, lebih menarik jika baju dikenakan tepat dengan ukuran badan. Tidak terlalu besar atau tidak terlalu sendat.

Dengan ukuran baju yang betul, anda akan lebih yakin tanpa perlu khuatir ‘lemak’ berlebihan kelihatan. Yang penting, anda lebih selesa dan tidak nampak ‘seksa’ di mata orang sekeliling.

AKSESORI PELENGKAP GAYA

Untuk aksesori seperti rantai, kasut atau sebagainya cuma padankan beberapa jenis sebelum melangkah keluar rumah.

Jika anda memakai ‘dress’, cuba padankan dengan rantai besar warna terang. Rantai nipis dan kecil kurang sesuai dengan gaya ini namun ia bergantung kepada cara padanan.

Bagi lelaki, kasut adalah aset utama. Pilih sneakers yang betul dengan warna sesuai untuk digabung bersama baju. Jangan terlalu berwarna-warni untuk mengekalkan aura stailo dan elegan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:01 AM