Dua penunggang motosikal (dua tengah) yang ditahan anggota polis selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di Jalan Tun Abdul Razak - Ayer Keroh berhampiran Bukit Sebukor, Melaka. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Dua lelaki ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam sekatan jalan Ops Lalulintas di Lebuh Ayer Keroh (LAK) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, kedua-dua lelaki berkenaan berusia 18 dan 41 tahun yang menunggang motosikal berasingan cuba berpatah balik dan melawan arus sebaik menyedari terdapat sekatan jalan raya sebelum berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asissten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, Ops Lalulintas itu dijalankan di dua lokasi berasingan masing-masing Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral serta LAK bermula 11 malam dan tamat pada 4 pagi.

"Daripada 163 kenderaan yang diperiksa dalam operasi itu sebanyak 141 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan antaranya tidak memakai tali pinggang, tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

"Turut ditahan dalam operasi sama dua lelaki yang cuba berpatah balik, bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati mereka positif dadah selain suspek berusia 41 tahun itu turut mempunyai 12 rekod lampau," katanya.

Katanya, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 2:47 PM