Hafiz dan Effy pada majlis resepsi ketiga mereka di Hotel Dorsett Grand Subang, malam tadi. FOTO Khairul Helmy Mohd Din
Norhayati Nordin


Subang Jaya: Selepas dua minggu bernikah, penyanyi Hafiz Suip, 26, dan isteri, Nureffy Jesreel Abdullah atau Effy, 24, mengadakan majlis resepsi kali ketiga mereka di Hotel Dorsett Grand Subang, di sini malam tadi.

Pasangan yang diijabkabul pada 14 Mei lalu di kediaman keluarga Effy di Kuching, Sarawak itu berkenalan pada 2010 dan mula menjalin cinta pada 2013.

Hafiz pada ucapan ringkasnya berkata, dia bersyukur dapat juga mengadakan majlis persandingan kali ketiga di Semenanjung.

"Saya tahu tidak ramai kenalan dan sahabat dapat hadir pada majlis pernikahan saya dan Effy yang berlangsung di Kuching, dua minggu lalu.

"Jadi, majlis persandingan ini amat bermakna buat kami. Diharapkan mana yang terkurang mohon dimaafkan," katanya.

Menurut Hafiz, kini apa yang diharapkan doa kebahagian buat dia dan isteri semoga ikatan perkahwinan dibina mereka kekal ke akhir hayat.

Sebelum ini, hanya sekali lafaz, Hafiz sah bergelar suami kepada Effy yang turut menerima mas kahwin sebanyak RM120.

Bahkan, majlis pernikahan pasangan ini juga diadakan dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Pemilihan tarikh nikah 14 Mei lalu itu bersempena tarikh lahir Effy, manakala majlis pertunangan pada 27 Februari lalu adalah tarikh lahir Hafiz.

Bagi majlis persandingan pengantin perempuan sudah diadakan di Hotel Pullman, Kuching dan di pihak Hafiz pula berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 10:42 PM