KANAK-kanak bermain di kawasan kampung Atule’er yang terpencil.
MELEPASKAN penat sebelum terus mendaki untuk pulang ke rumah masing-masing.
KAMPUNG ini hanya didiami 72 keluarga yang menyara hidup dengan menanam cili.
SEKUMPULAN kanak-kanak memanjat tangga di cerun gunung setiap kali pergi dan pulang dari sekolah.

Sekumpulan kanak-kanak di sebuah kampung terpencil di China terpaksa menempuh perjalanan berbahaya setiap kali pergi dan balik sekolah kerana kediaman mereka terpisah dari dunia luar.

Beberapa gambar menyayat hati menunjukkan kanak-kanak seawal usia enam tahun memanjat tangga di tepi cerun gunung untuk pergi dan pulang dari sekolah.

Kanak-kanak berkenaan tinggal di kawasan yang dikenali sebagai ‘kampung cenuram’ yang terletak di atas puncak gunung setinggi 800 meter di barat daya China.

Sekolah mereka pula terletak di kaki gunung berkenaan.

Gambar yang dirakam pada 14 Mei lalu menunjukkan kecekalan 15 kanak-kanak mendaki 17 tangga pada cerun gunung.

Kanak-kanak berusia dari enam hingga 15 tahun itu membawa beg berat dan ditemani tiga lelaki dewasa ketika menempuh perjalanan yang mengambil masa dua jam itu.

Semua mereka berasal dari kampung Atule’er di wilayah Sichuan yang terletak di puncak gunung setinggi 1,400 meter dari aras laut.

Kampung itu begitu terpencil sehingga hanya 72 keluarga saja yang tinggal di sana, kebanyakannya menyara kehidupan dengan menanam cili.

Setelah tiba di Sekolah Rendah Le’er, mereka akan tinggal di sana selama dua minggu sebelum pulang semula ke kampung.

Setiap kali kanak-kanak itu turun atau naik ke gunung, ibu bapa mereka akan mengambil giliran untuk menjemput mereka.

Bagi ibu bapa yang sudah biasa, perjalanan itu akan mengambil masa sejam untuk turun manakala sejam setengah lagi untuk naik.

Bagi kanak-kanak kecil pula mereka memerlukan sekitar dua jam untuk mendaki.

Seorang penduduk, Chen Guji, 30, berkata, dia bangun seawal jam 6 pagi untuk turun mengambil empat anak perempuan dan seorang lelaki di sekolah.

Dia menggunakan tali untuk mengikat sekeliling beg sekolah anaknya bagi memastikan keselamatan mereka.

Menurut laporan, perjalanan berbahaya itu sudah mengorbankan lapan orang.

Perjalanan menjadi amat sukar apabila tiba musim hujan dan salji.

Penduduk pernah meminta kerajaan membina jalan masuk ke kampung itu, tetapi akibat kos yang tinggi dan jumlah penduduk yang kecil, permintaan mereka sukar direalisasikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:02 AM