MARESMART Charity Run tanda prihatin dan sokongan kepada pesakit kanser.
MARESMART Charity Run tanda prihatin dan sokongan kepada pesakit kanser.
SANUSI menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada Habiba.
SANUSI menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada Habiba.
ANTARA peserta larian amal anjuran MRSM Taiping.
ANTARA peserta larian amal anjuran MRSM Taiping.
myMetro

Bagi menyemai sikap keprihatinan pelajar terhadap pesakit kanser, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping melalui Jawatankuasa Seketariat Kepemimpinan berkobolarasi dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) menganjurkan larian amal, Maresmart Charity Run, baru-baru ini.

Larian sejauh lapan kilometer bermula dari maktab berkenaan mengelilingi Taman Tasik Taiping itu disertai lebih 300 peserta yang dibahagikan kepada tiga kategori.

Selain pelajar MRSM Taiping, larian turut disertai pelajar MRSM Kepala Batas, MRSM Parit, Sekolah Kebangsaan Treacher Methodist (P) Taiping, Sekolah Menengah Kebangsaan St George serta beberapa sekolah di sekitar bandar itu, selain penyertaan penduduk setempat.

Tempat pertama kategori Bawah 18 Tahun Lelaki dan Wanita dimenangi Lim Chun Keat (SMK St George) dan Zarith Sufia (MRSM Taiping). Hadiah disampaikan Pengetua MRSM Taiping Ahmad Sanusi Hashim.

Jurucakap penganjur, Hannis Qistina Ismail berkata, kemenangan bukan menjadi keutamaan peserta, sebaliknya untuk menunjukkan keprihatinan pelajar terhadap usaha MAKNA membantu pesakit kanser di seluruh negara.

“Sebagai sebuah kolej berprestasi tinggi, MRSM Taiping mengambil langkah bekerjasama dengan MAKNA untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

“Ia langkah kami untuk memupuk sifat mengambil tahu dan prihatin dalam kalangan pelajar kepada pesakit kanser yang bukan sahaja memerlukan sokongan kewangan, malah sokongan moral,” katanya.

Pada majlis itu, MRSM Taiping menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada MAKNA yang diwakili Pengerusi Kumpulan Sokongannya Habiba Abdul Rahman. Turut hadir Penolong Pengurus Projek badan itu Mohd Tarmizi Abdul Rahman, Zunnurin Zohri (Eksekutif) dan Malathi Thankaraj (Jururawat Senior).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 1:04 PM