X
MASALAH haid seakan-akan larangan di beberapa negara di dunia.
MASALAH haid seakan-akan larangan di beberapa negara di dunia.
Susunan Faizatul Farlin Farush Khan


Secara keseluruhan dalam hidup setiap wanita, mereka menghabiskan kira-kira enam ke tujuh tahun dalam keadaan haid. Satu tempoh yang agak lama jika dibandingkan dengan perbuatan atau amalan harian lain.

Sehubungan itu, bagi memastikan remaja perempuan dan wanita dapat hidup secara sihat, produktif dan bermaruah, mereka memerlukan kemudahan tandas, air, sabun dan tuala wanita.

Bagaimanapun, menurut pakar, keperluan wanita yang sangat meruncing ini terabai terutama di negara membangun.

Keadaan inilah yang secara tidak langsung melahirkan Hari Kebersihan Haid yang diadakan setiap 28 Mei bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu itu.

Mengikut fakta, dalam sehari lebih 800 juta wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun didatangi haid.

Malangnya, menurut badan kebajikan WaterAid, terdapat kira-kira 1.25 juta wanita di seluruh dunia tidak mempunyai kemudahan tandas ketika waktu kritikal itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan satu daripada 10 remaja perempuan di Afrika tidak dapat hadir ke sekolah sepanjang tempoh haid dan akhirnya berhenti sekolah berpunca daripada kekurangan kemudahan penjagaan kebersihan.

Walaupun ia isu yang besar tetapi topik kedatangan haid masih dalam kategori perkara yang ‘pantang dibangkitkan’ di beberapa negara terutama dalam kalangan masyarakat konservatif.

Wanita menggunakan pelbagai pengganti nama untuk merujuk kepada haid antaranya, ‘sedang berkain buruk’ ataupun ‘Bloody Mary’ dalam kajian membabitkan 90,000 orang di 190 negara.

Di beberapa tempat di Nepal, wanita masih mengamalkan ‘chaupadi’, iaitu mengasingkan diri sepenuhnya daripada masyarakat ketika didatangi haid.

Budaya itu mewajibkan wanita tinggal dalam bangsal atau bangunan luar rumah sehingga tamat tempoh haid mereka.

Mereka juga tidak dibenarkan memasuki mana-mana rumah dan tempat beribadat. Bukan itu saja, mereka juga dilarang menggunakan sumber air awam, mengambil bahagian dalam festival atau menyentuh orang lain selagi masih dalam haid.

Meskipun sudah diharamkan oleh mahkamah tinggi di Nepal pada 2005, ‘chaupadi’ masih diamalkan kira-kira 95 peratus remaja dan wanita di negara itu.

Lebih menyedihkan apabila perempuan sendiri tidak mendapat maklumat tepat dan memahami isu haid ini. Menurut WaterAid, hampir semua gadis Iran dan 10 peratus gadis di India percaya haid adalah penyakit.

Selain itu diskriminasi terhadap wanita dalam haid turut ditemui di beberapa bahagian Afrika.

Pengurus Penyokong WaterAid Afrika Barat, Apollos Nwafor berkata, sebagai contoh, wanita di Sierra Leone dilarang menyertai majlis keagamaan sepanjang haid kerana mereka dianggap tercemar.

Biarpun haid adalah kitaran semula jadi dalam kehidupan wanita, keperluan mereka mendapatkan air bersih dan kemudahan sanitasi tidak dipedulikan.

Kesedaran yang kurang berkaitan masalah itu selain tiada penyelesaian sebenar, membuatkan komuniti yang dikuasai pembuat keputusan dan pemimpin lelaki, menyaksikan kebersihan haid tidak diambil kira atau dianggap satu perkara penting.

Antara impak sosial wanita yang mengalami penindasan begini adalah rasa terpinggir dan malu.

“Apabila ada gadis yang berjalan dengan pakaian terkena darah haid, budak lelaki akan kata ‘wanita tidak tahu malu’. Mereka akan mengejek dan memalukan kami.

“Kami rasa tidak selesa kerana budak lelaki terlihat darah kami akan berasa panik jika berada dalam kelas. Biarpun hendak bermain, ia menjadi sangat sukar,” kata Ayisha Sadik, pelajar sekolah menengah di daerah Gonja Timur, Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 1:23 PM