Skip this ad x

Pasti ramai penggemar teater tidak sabar untuk menonton naskhah terbaru CTRA Production berjudul Diari Wanita yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 11 hingga 16 Februari depan.

Lebih memberansangkan, teater arahan pengarah berkaliber Rosminah Tahir ini turut mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Khatijah Tan sebagai Kak Ani, Misha Omar (Keponakan Cantik), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Sherry Alhadad (Nyonya), Juhara Ayob (Keponakan Beautiful) dan Shahrul Mizad Ashari (Tuan).

Bagi memantapkan lagi naskhah ini, khabarnya pelakon popular Nad Zainal turut dilamar untuk beraksi dalam pementasan ini.

Menurut sumber produksi kepada rakan SS, Nad ditawarkan watak isteri yang berat dan banyak bermain dengan emosi. Sebelum ini, watak isteri pernah dilakonkan pelakon Sherry Alhadad dan Fara Fauzana.

Kata rakan SS, Nad juga sukar menolak peluang keemasan itu kerana dia juga ingin mengubat rindu selepas dua tahun tidak beraksi di pentas teater selepas pementasan Maduku Kalut sebelum ini.

Pada masa sama, dia juga sudah lama menanti peluang untuk bekerjasama de­ngan guru lakonannya, Rosminah yang juga pensyarahnya di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

Teater yang memaparkan permasalahan wanita terutama golongan ibu tunggal ini membabitkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta IB.

Apapun, SS difahamkan skrip pementasan ini masih dalam proses pembikinan lagi. Barisan pelakon akan mula berkumpul pada akhir Disember ini dan sesi latihan akan bermula Januari depan.

SS berharap semua pengikut cerita Nyonya akan terus menyokong pementasan ini kerana ia sesuai ditonton seisi keluarga.

SS: Kagum dengan kemampuan setiap pelakon teater menghafal skrip dan menghayati watak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM