Koperal Mohd Ropi Mat Ali dan catatan FB Ketua Polis Negara memujinya. - Foto HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berpangkat koperal mendapat pujian banyak pihak selepas gambarnya membantu lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) melintas jalan dengan menumpangkan lelaki berkenaan di atas motosikalnya ketika melakukan rondaan, tersebar di media sosial.

Koperal Mohd Ropi Mat Ali, 47, dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) berkata, dia bersama seorang rakan setugas sedang melakukan rondaan di Jalan Mohd Fuad, TTDI, apabila ternampak lelaki OKU tanpa kaki itu cuba melintas jalan.

"Keadaan jalan ketika itu agak sesak dan sudah pasti sukar untuk lelaki berkenaan melintas jalan kerana dia tiada kaki.

"Saya tergerak hati untuk membantu dengan memboncengkannya dan menghantarnya ke perhentian bas kira-kira 300 meter dari lokasi dia ditemui," katanya.

Tindakan Koperal Ropi itu juga mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut memuat naik gambar berkenaan di Facebooknya hari ini.

“Syabas Koperal Ropi dari Balai Polis Taman Tun Dr Ismail yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal kerana membantu seorang lelaki kurang upaya membonceng motosikal beliau semasa sedang membuat rondaan,” tulis Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:26 PM