KEADAAN laluan KTM Seremban selepas paip pecah. FOTO ihsan SAINS
Khairul Najib Asarullah Khan


Seremban: Sekurang-kurangnya 26 kawasan di sekitar Seremban dan Seremban 2 mengalami gangguan bekalan air bermula 5 petang hingga 9 malam esok berikutan paip di Depoh Keretapi Tanah Melayu (KTM) Seremban pecah, petang tadi.

Kejadian berlaku 2 petang menyebabkan beberapa kawasan terjejas antaranya S2 Height, Taman Rasah Kemayan, Taman Bukit Kepayang, Taman Mantau Indah 1, 2, 3, Jalan Labu Batu 1-9, Jalan Sungai Ujong, Jalan Labu Lama, Taman Permai, Kemayan Square, Bandar Seremban, Templer, Lobak, Rahang Square, Jalan Zaaba dan Jalan Tuanku Antah.

Selain itu, kawasan lain turut terjejas antaranya Industri Galla, Taman Sri Pulasan, Taman Bukit Galena, Taman Bukit Kristal dan Bukit Kelisa, Taman Duyong, Bukit Merbok, Taman Belimbing dan Belimbing Height, Bukit Kaya, Labu Utama, Labu Jaya, Bukit Labu, Sri Labu, Jasper Jaya, Seruling, Harmonium Indah, Mutiara Galla dan Oakland.

Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dalam satu kenyataan berkata, kerja pembaikan paip bersaiz 48 inci itu bermula petang tadi dan dijangka siap malam esok.

"Kerja pembaikan mengambil masa kerana membabitkan laluan KTM. Bekalan akan disambung semula selepas waktu itu dan dilakukan secara berperingkat. Beberapa kawasan juga dijangka mengalami tempoh pemulihan agak lama.

"Justeru, mereka memerlukan bantuan boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982 untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:48 PM