Anggota polis menahan seorang penunjuk perasaan di Times Square.

New York: Orang ramai membanjiri jalan raya di kota New York dan bandar lain untuk malam kedua berturut-turut bagi memprotes keputusan juri untuk tidak mendakwa seorang anggota polis berkulit putih dalam kes kedua membabitkan kematian lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata.

Tunjuk perasaan bermula selepas keputusan itu dibuat terhadap Daniel Pantaleo dalam kejadian membabitkan mangsa, Eric Garner yang dirakamkan saksi dan disebarkan di Internet.

Video itu menunjukkan Pantaleo mencekik Garner dari belakang menggunakan lengannya sebelum memaksanya baring.

Garner berulang kali didengar berkata ‘Saya tidak boleh bernafas’ yang turut diulangi penunjuk perasaan dalam protes mereka.

Garner dikatakan ditahan kerana menjual rokok haram, Julai lalu. Pantaleo masih berdepan tindakan disiplin sementara menunggu hasil siasatan dalaman polis.

Sebelum ini, keengganan juri mendakwa anggota polis dalam kes serupa di Ferguson, Missouri, turut dikecam hebat sehingga Peguam Negara Eric Holder memulakan semakan sivil terhadap kes itu.

Holder turut menjanjikan siasatan menyeluruh dalam kes terbaru di New York itu.

Demonstrasi bermula pada sebelah petang selepas habis waktu bekerja dan penunjuk perasaan mengganggu lalu lintas sehingga menyebabkan kesesakan teruk dan hampir tidak bergerak.

Semakin ramai menyertai tunjuk perasaan itu menjelang malam.

Mereka kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan di lokasi berbeza, namun tiada keganasan berlaku.

Tetapi keadaan menjadi lebih tegang apabila sekurang-kurangnya 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Times Square sejurus sebelum tengah malam.

Mereka yang menyekat sebuah simpang utama turut didengar melaung kepada polis: “Siapa yang kamu lindungi?”

Ratusan anggota polis kemudian menolak mereka ke kaki lima. Puluhan orang ditahan namun jumlah sebenar tidak didedahkan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:01 AM