TUNKU Imran (tengah), Ketua Kontinjen Olimpik Rio 2016 Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (kanan) dan Setiausaha Agung MOM Datuk Low Beng Choo pada sidang media pengumuman atlet layak ke Olimpik Rio.
TUNKU Imran (tengah), Ketua Kontinjen Olimpik Rio 2016 Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (kanan) dan Setiausaha Agung MOM Datuk Low Beng Choo pada sidang media pengumuman atlet layak ke Olimpik Rio.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyerahkan kepada atlet untuk membuat keputusan sendiri sama ada mahu menarik diri daripada menyertai Sukan Olimpik Rio jika merasa terancam susulan isu virus Zika.

Seramai 22 atlet negara dari pelbagai sukan sudah mengesahkan tiket ke Brazil yang dijadualkan berlangsung Ogos nanti.

Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja’afar menjelaskan mereka tidak boleh memaksa sekiranya ada atlet yang mengambil keputusan untuk tidak beraksi di temasya sukan berprestij itu.

“Kebanyakan sukan mempunyai atlet simpanan yang boleh disenaraikan sekiranya berlaku kecederaan. Tindakan menggantikan atlet dibenarkan bagi sesetengah sukan.

“Jadi, keputusan terletak di tangan atlet itu sendiri. Mereka boleh diganti sekiranya keputusan itu dibuat dalam tempoh yang dibenarkan,” katanya semalam.

Ditanya sama ada Malaysia akan menarik diri secara rasmi kerana kemelut Zika itu, Tunku Imran menjelaskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) akan menjadi rujukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagaimanapun media antarabangsa melaporkan IOC dan WHO mahu temasya sukan terbesar dunia itu diteruskan seperti dirancang.

“Kita percaya Brazil selaku tuan rumah sudah mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan kontinjen bertanding.

“Sebagai contoh sekiranya isu denggi dibangkitkan ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, adakah negara lain akan menarik diri?

“Saya percaya sebagai penganjur, kita akan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani perkara ini. Jadi saya juga percaya Brazil akan mengambil tindakan sama,” katanya.

Katanya, segala maklumat berhubung Zika seperti pencegahan serta nasihat lain akan disampaikan kepada atlet bagi mengurangkan kebimbangan dan perasaan gusar mereka.

MOM menaruh harapan bilangan atlet negara akan mencecah sekurang-kurangnya 30 atlet dengan beberapa sukan seperti golf, memanah berpasukan serta wild card untuk renang dan olahraga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 9:10 AM