GABRIEL (kanan pamer impak selepas 10 minit beraksi.
Reuter

Colorado: Penyerang remaja Gabriel menepati gelaran selaku ‘Gabigol’ selepas menjaringkan gol pada penampilan pertamanya bersama Brazil ketika gergasi Amerika Selatan itu menang 2-0 ke atas Panama.

Pemain berusia 19 tahun itu masuk menggantikan Jonas selepas 62 minit perlawanan persahabatan di Colorado dan dia menghasilkan gol kedua Brazil menerusi rembatan kaki kiri 10 minit kemudian.

Sebelum itu, Jonas membuka jaringan pada minit kedua permainan.

“Saya sangat gembira apabila disenaraikan untuk mewakili negara dan saya lebih gembira lagi apabila dapat menjaringkan gol,” kata Gabriel dalam temubual bersama stesen televisyen selepas perlawanan pemanas badan Brazil yang akan mengharungi kejohanan Centenary Copa America di Amerika Syarikat minggu depan.

“Ia boleh dianggap sebagai mimpi yang menjadi kenyataan apabila dapat bermain di samping pemain seperti Kaka dan Dani Alves.”

Brazil akan menyingkap tirai kempen Copa America dengan menentang Ecuador sebelum bertemu Haiti dan Peru dalam Kumpulan B kejohanan yang membabitkan 16 pasukan itu.

Dalam satu lagi perlawanan persahabatan, Colombia mengatasi Haiti 3-1.

Colombia turun tanpa Radamel Falcao yang tidak boleh bermain di Copa America akibat kecederaan serta James Rodriguez yang bersama Real Madrid ketika final Liga Juara-Juara.

Jurulatih Jose Pekerman akan membariskan pemain muda untuk aksi di Miami dan beliau memberi peluang kepada pemain berusia 19 tahun, Marlos Moreno selain memperkenalkan Roger Martinez, 21, sebagai pemain gantian di babak kedua.

Dayro Moreno meletakkan Colombia di depan selepas 14 minit menerusi sepakan voli tetapi Haiti menyamakan kedudukan 20 minit kemudian hasil tandukan Wilde-Donald Guerrier.

Impian Haiti untuk menang mula pudar apabila Max Hilaire dilayangkan kad kuning kedua, enam minit sebelum tamat babak pertama.

Juan Guillermo Cuadrado menjaringkan gol kedua Colombia selepas 54 minit dan Martinez menghasilkan gol ketiga ketika permainan berbaki 20 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 9:56 AM