Ibrahim Isa


Segamat: Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Segamat, hari ini, atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Kekal Labis di.sini, pada 24 Mac lalu.

S Thiagaraj, 34 dan Saprizal, 30, warga Indonesia mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret, Juliana Jaffar.

Kedua-dua tertuduh didakwa memasuki kawasan Kompartmen 119 Hutan Simpan Labis, di sini, kira-kira 3 pagi, 24 Mac lalu, tanpa permit masuk daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai mengikut Enakmen Perhutanan Negara (pemakaian) 1984 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Juliana kemudiannya menjatuhkan denda RM3,000 seorang dan sekiranya gagal membayar denda mereka akan dipenjara 10 bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Nurul Husna Lucyia Gelangang, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 12:30 PM