SIMONA
SIMONA

Paris: Pilihan kedua Agnieszka Radwanska dan bekas finalis Terbuka Perancis Simona Halep tersingkir daripada pusingan 16 dalam aksi yang menyaksikan Roland Garros sekali lagi dilanda hujan, semalam.

Agnieszka tampak seperti akan mara ke suku akhir ketika mendahului pemain bukan pilihan dari Bulgaria Tsvetana Pironkova 6-2, 3-0 ketika perlawanan ditangguhkan Ahad lalu sebelum kejohanan itu dilanda hujan paling lebat dalam tempoh 16 tahun, kelmarin.

Tetapi pemain Poland itu yang dibelenggu kecederaan pergelangan tangan kanan, menggugurkan 10 permainan berturut-turut semalam ketika Tsvetana yang juga pemain ke-102 dunia melebarkan rekod terbaiknya di Paris.

“Saya berasa hebat. Sukar nak gambarkan kegembiraan ketika ini dengan kata-kata, tapi saya sangat gembira,” kata pemain yang pernah mara ke separuh akhir Wimbledon itu.

“Sungguh sukar kerana hujan itu. Kami menunggu tiga hari untuk menamatkan perlawanan. Tapi saya tidak boleh merungut kerana saya menang akhirnya.”

Simona selaku pilihan keenam yang tewas final 2014 di tangan Maria Sharapova, mengalami kekalahan 6-7 (0/7), 3-6 kepada bekas juara Terbuka Amerika Syarikat Samantha Stosur dari Australia.

Pemain Romania itu mendahului 5-3 apabila perlawanan mereka yang ditangguhkan sejak Ahad, bersambung di Gelanggang Satu, tetapi Samantha memecahkan servis Simona sebelum mula menguasai.

Samantha, naib juara Terbuka Perancis 2010, sekali lagi memecahkan servis lawannya untuk memulakan set kedua sebelum memastikan tiket ke suku akhir.

Pemain pilihan ke-21 itu akan berdepan Tsvetana selepas ini, dengan pemenang perlawanan itu akan berjumpa pemain Sepanyol Garbine Muguruza atau pemain nombor 108 dunia dari Amerika Syarikat Shelby Rogers untuk tempat di final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:19 AM