Mohd Ali
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur

Aliy Property Advisors Sdn Bhd menjangkakan harga hartanah tidak akan meningkat secara mendadak apabila pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuat kuasa 1 April 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ali Abdul Majis berkata, kenaikan pasti berlaku dan dianggarkan antara tiga hingga enam peratus, namun untuk pasaran sekunder ia tidak begitu terkesan manakala bagi hartanah kediaman pula tiada GST dikenakan.

“Jika dilihat, kesan kepada trend pembelian rumah akan berlaku dengan pelaksaan GST nanti kerana orang ramai suka mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Ini juga berlaku semasa Belanjawan 2014 apabila kerajaan mengumumkan kenaikan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan trend pembelian berlaku sedikit perlahan pada suku awal pertama,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, mengikut kajian negara lain apabila mereka melaksanakan GST, dua tahun pertama kuasa membeli berkurang kerana pembeli mengambil sikap untuk berjimat.

Mohd Ali berkata, sebenarnya perkara terbabit tidak sihat untuk ekonomi negara dan tiada banyak perkara akan berubah kerana di Malaysia trend pasaran hartanahnya menaik walaupun tiada GST dan ia cuma secara cepat atau lambat saja.

Beliau berkata, paling penting sebagai persediaan membeli rumah pada tahun depan dengan membina profil kewangan dan teruskan membeli.

“Cuba dapatkan pendapatan tambahan untuk membina profil kewangan lebih baik, kawal cara berbelanja terutama kepada gen Y kerana kos sara hidup akan meningkat. Bezakan keperluan dan keinginan dengan lebih bijak.

“Kalau boleh beli rumah terlebih dulu sebelum anda membeli kereta untuk mendapatkan Nisbah Khidmat Hutang (DSR) lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:03 AM