IBU Rita, Poniyem memegang gambar anaknya dalam satu tunjuk perasaan di Ponorogo, Jawa Barat, 25 Januari lalu.
Agensi

Jakarta: Kementerian Luar Indonesia akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Malaysia berhubung hukuman mati terhadap seorang wanita negara itu yang didapati bersalah kelmarin kerana mengedar dadah.

Konsul Besar Indonesia di Pulau Pinang, Taufiq Rodhi berkata, pihaknya mengarah peguam bela tertuduh mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang masih di peringkat pertama sistem kehakiman Malaysia itu.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhkan hukuman mati terhadap Rita Krisdianti, 28, selepas mendapatinya bersalah menyeludup dadah jenis methamphetamine tiga tahun lalu.

Rita ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas selepas pihak berkuasa menemui lebih empat kilogram dadah dalam beg miliknya.

Wanita itu memberitahu mahkamah, dia tidak mengetahui ada dadah dalam beg itu yang diberi rakannya yang mengatur perjalanannya dari Hong Kong ke Pulau Pinang melalui Bangkok dan New Delhi.

Kementerian Luar Indonesia memberitahu, pihaknya juga bekerjasama dengan Pejabat Konsul Indonesia di Hong Kong, tempat Rita bekerja dari Januari hingga April 2013.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan dari Indonesia seperti Migrant Care juga diberi kebenaran memantau kes itu.

Menurutnya, ketika ini terdapat 154 pesalah warga Indonesia yang berdepan hukuman mati di Malaysia dengan 102 berkait dengan kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:59 AM