NORANIZA ketika menerima Anugerah KaryaOne Legend, baru-baru ini.
Syafil Syazwan Jefri


Tempoh 30 tahun memperjuangkan muzik dan budaya tradisi bukanlah singkat, namun ratu etnik kreatif, Noraniza Idris tidak pernah jemu memartabatkan aliran seni yang dibawa.

Hasilnya pada 27 Mei lalu, Noraniza menerima Anugerah KaryaOne Legend pada Malam Gala KaryaOne Wave Awards 2016 anjuran pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

“Alhamdulillah, ini satu lagi penghargaan buat saya sebagai anak seni. Nampaknya, ramai mula nampak perjuangan saya menerusi Siri Jelajah Malaysia bersempena Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun ke seluruh negara,” katanya.

Menurut Noraniza, dia kini mempertaruhkan seni zapin sejak empat tahun lalu dan mendekati mereka yang berusia di antara 15 hingga 25 tahun.

“Pada pandangan saya, pada usia begitu, mereka boleh menjadi penanda aras dalam kehendak pasaran muzik hari ini. Jadi, dengan mendekati mereka, saya boleh menyuntik rasa cinta kepada muzik beraliran tradisional dan pada masa sama, mengangkat zapin itu sendiri,”katanya.

Noraniza berkata, pihaknya kini sudah mengumpul kira-kira 19,000 ahli berdaftar dan ia sememangnya cukup membanggakan.

“Jadi, apabila diberi anugerah pada acara yang dianjurkan pelajar sendiri, saya rasa mereka sudah nampak apa yang saya cuba perjuangkan,” katanya.

Menjelaskan lagi mengenai siri jelajah yang dianjurkannya, Noraniza memaklumkan ia membabitkan enam zon utama di seluruh negara iaitu Zon Utara, Selatan, Pantai Timur, Tengah, Sabah dan Sarawak.

Terbaru, Noraniza kini mempromosikan dua single baru hasil kerjasama dengan penyanyi baru iaitu Ihab Ismail dan L’Zzay.

Dua single terbaru berkenaan ialah Puncak Gapura dan #MOHONTERASA.

Bukan sekadar hadir dengan single baru, Noraniza juga bakal hadir dengan album raya berjudul Ria Aidilfitri.

“Insya-Allah, album ini akan dilancarkan sebelum Ramadan. Ia memuatkan 15 lagu dan kebanyakannya adalah lagu baru, tetapi saya juga turut menyanyikan semula lagu lama saya antaranya Nostalgia Aidilfitri yang diberi nafas baru,” katanya.

Ditanya mengenai keberaniannya mengeluarkan album fizikal dalam situasi industri muzik yang lebih fokus kepada jualan digital, Noraniza mengambil risiko itu atas beberapa sebab.

“Saya tahu perkara itu tetapi tetap ingin menghasilkan album dalam bentuk fizikal. Saya juga tahu permintaan untuk lagu etnik kreatif tidak sehebat dulu, namun saya lebih berpuas hati dengan adanya album berbentuk fizikal,” katanya.

Anak pun menyanyi

Satu lagi kejutan yang ditampilkan dalam album ini ialah ia turut memuatkan satu lagu nyanyian anaknya Fee Haiqal.

“Anak saya juga mula cenderung menjadi penyanyi, jadi saya buka peluang dan berikan ruang kepadanya untuk menyanyi. Walaupun kecenderungannya lebih kepada muzik R&B, tetapi dia juga boleh menyanyikan lagu berentak tradisional,” katanya.

Sementara itu, album berkenaan turut dihasilkan bagi mengumpul dana membantu mereka yang memerlukan.

Antara yang dibantu Noraniza ialah peserta program Ceria Popstar, Dalili apabila bapanya menghidap kanser darah tahap empat.

“Selain itu, seorang pekerja saya di bahagian promosi disahkan buta sepenuhnya baru-baru ini. Melihatkan keadaannya sekarang, saya tergerak hati untuk membantu. Setiap hasil jualan daripada album ini kami akan agih untuk membantu mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:37 AM