SEGERA bertemu doktor sekiranya mengalami masalah kesihatan ketika berpuasa.
AMALKAN makanan seimbang sepanjang Ramadan.
WANITA hamil perlu pantau keadaan diri sepanjag berpuasa.
Siti Nadirah Hafidzin

Larat ke? Bayi sihat ke? Pelbagai tanda tanya kini mula berlegar di minda setiap ibu hamil menjelang Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari lagi.

Kedatangan Ramadan pastinya amat dinanti namun sedikit sebanyak ia meninggalkan kerisauan kepada ibu hamil terutama apabila memikirkan keadaan bayi di dalam kandungan.

Pastinya tahap kekuatan diri dan kesihatan bayi yang dikandung kadangkala menjadi sebab mengapa ada antara wanita hamil perlu berbuka puasa.

Walau diberi kelonggaran, kajian perubatan mendapati 70 peratus daripada wanita Muslim yang hamil memilih untuk terus berpuasa sepanjang Ramadan selagi mampu.

Pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai risiko berpuasa kepada bayi dalam kandungan sedangkan si ibu tidak makan dan minum dalam tempoh lebih 10 jam.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, ramai wanita yang hamil mengambil keputusan tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan bayi dalam kandungan.

“Bagi saya, selagi wanita yang hamil itu masih mampu berdiri dan menjalankan rutin kerja sehariannya, selagi itu dia mampu berpuasa kerana ibadat puasa tidak akan menyebabkan bayi mereka berada dalam bahaya.

“Tidak dinafikan apabila seseorang ibu hamil tidak mengambil makanan atau minuman untuk jangka masa yang agak lama ketika berpuasa menyebabkan mereka menjadi lebih letih,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, hakikatnya, bayi dalam kandungan tidak akan mengalami kekurangan nutrisi walaupun si ibu berpuasa.

“Bayi akan tetap mendapat nutrisi pemakanan kerana nutrisi itu bukan dibekalkan daripada makanan diambil tetapi daripada simpanan yang banyak di dalam hati.

“Namun, sekiranya wanita yang hamil berasakan diri mereka tidak sihat, pening, rasa hendak pitam, kabur penglihatan atau tanda membimbangkan dinasihatkan segera berbuka dan dapatkan pemeriksaan doktor,” katanya.

Sekiranya ibu hamil mengalami tanda seperti di bawah perlulah segera berbuka:

1. Pening, pengsan, lemah atau letih. Cuba berehat selama setengah jam dan jika tiada perubahan segera hubungi doktor anda.

2. Loya atau muntah.

3. Sekiranya usia kandungan melebihi 20 minggu, perhatikan jika terdapat perubahan ketara pada pergerakan bayi anda (tidak bergerak atau kurang menendang).

4. Berasa sangat dahaga atau air kencing berwarna gelap, berbau kuat dan kuantitinya pula sedikit. Ini tanda dehidrasi.

5. Berat badan tidak bertambah atau berkurangan berat badan.

6. Rasa sakit seakan-akan sakit bersalin.

7. Sakit kepala atau demam.

Tip pemakanan Ramadan untuk wanita hamil

• Utamakan mengambil makanan yang berprotein tinggi seperti daging dan telur kerana protein boleh disimpan di dalam tubuh pada kadar lebih lama berbanding kumpulan vitamin yang lain.

• Banyakkan juga mengambil makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar supaya mampu menahan lapar.

• Jangan lupa mengambil vitamin tambahan ketika sahur bagi mengekalkan kesegaran badan sepanjang hari.

• Lewatkan bersahur. Kalau boleh, bersahurlah hingga ke saat akhir imsak supaya anda tidak cepat berasa lapar pada siang hari.

• Usahakan untuk minum dua liter air masak selepas waktu berbuka hingga ke imsak. Minum sedikit-sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan dehidrasi pada siang hari.

• Jika anda penggemar kopi, hadkan pengambilannya kepada satu atau dua cawan saja. Ini kerana kafein dalam kopi bersifat diuretik iaitu akan membuatkan anda kerap kencing.

• Pelbagaikan pilihan makanan berbuka dan sahur, sebaik-baiknya pilih sajian sihat.

• Pilih makanan yang melepaskan tenaganya secara perlahan seperti karbohidrat kompleks, makanan tinggi serat, kekacang dan buah-buahan kering untuk membekalkan tenaga yang berpanjangan.

• Elakkan mengambil makanan yang banyak gula kerana ia akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Kemudian paras gula ini akan turun mendadak yang membuatkan anda berasa pening.

• Makan secara sederhana ketika berbuka. Makan perlahan-lahan. Tahan keinginan untuk makan banyak. Anda boleh makan lagi selepas menunaikan solat Tarawih atau antara solat Tarawih.

• Elakkan makan makanan berasid atau bergoreng (berminyak) yang boleh membuatkan anda mengalami masalah pedih ulu hati, terutama sebelum tidur.

Wanita hamil yang berpuasa mungkin mengalami kesan sampingan seperti hipoglisemia (paras glukosa dalam darah yang lebih rendah daripada normal), ketosis dan dehidrasi.

Risiko ini dikatakan meningkat jika berpuasa pada awal kehamilan (trimester pertama atau tiga bulan pertama) kerana biasanya pada fasa ini banyak berlaku komplikasi kehamilan yang kurang menyenangkan.

Oleh itu, doktor tidak menggalakkan ibu yang berada pada fasa pertama kehamilan untuk berpuasa. Bagaimanapun, tiada satu nasihat seragam yang boleh digunakan oleh semua wanita hamil yang ingin berpuasa.

Oleh itu, walaupun berasakan badan mereka dalam keadaan baik, ibu hamil yang ingin berpuasa dinasihatkan berjumpa doktor supaya doktor boleh memeriksa keadaan dan keupayaan anda untuk berpuasa.

Namun, dalam keadaan tertentu, doktor akan melarang anda berpuasa sekiranya anda mengalami:

• Kencing manis

• Penyakit hati yang tidak berfungsi

• Lelah yang teruk

• Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal

• Kehamilan kembar

• Risiko kelahiran pramatang

• Masalah lain berkaitan kehamilan yang serius

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 11:27 AM