ANGGOTA penguatkuasa SWCorp Negeri Kedah mengadakan operasi pengasingan sisa pepejal yang bermula hari ini di Taman Cencaru, Alor Setar. FOTO Muhd Adib
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Sebanyak 2,737 premis membabitkan 10 taman perumahan di Kedah akan diperiksa menerusi operasi penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal yang berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Fadzilah Hasan berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 266,927 premis membabitkan 2,031 taman perumahan di seluruh negeri ini yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, 58 anggota penguat kuasa yang menyertai operasi pelaksanaan penguatkuasaan hari ini akan memeriksa tong sampah PBT bagi melihat sama ada pemilik premis mematuhi peraturan ditetapkan atau sebaliknya.

"Sekiranya pemilik premis gagal mengasingkan sisa pepejal notis mesra akan diberikan dalam tempoh tujuh hari sebelum tindakan kompaun dikenakan," katanya dalam sidang media sempena operasi pengasingan sisa pepejal di Pejabat SWCorp, di sini, hari ini.

Penguatkuasaan ini adalah fasa ketiga selepas dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Jun tahun lalu.

Katanya, 35,012 premis diperiksa membabitkan 236 taman selain sejumlah 5,703 surat peringatan mesra dikeluarkan kepada penghuni premis bermula tahun lalu sehingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 12:22 PM