Farah Suhaidah Othman


Taiping: Tiga wanita maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan menyebabkan semua mangsa tercampak keluar di Km 230 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Changkat Jering di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 2 petang itu, kereta Perodua Myvi dinaiki keempat-empat mangsa berusia antara 20-an hingga 40-an, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke dalam longkang lalu terbakar.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Andullah berkata, tiga wanita Melayu berusia 20-an hingga 40-an, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi berusia 20-an, cedera parah.

"Identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti kerana dokumen peribadi mangsa dipercayai turut terbakar dalam kemalangan itu.

"Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan dan dilaporkan tenat serta tidak sedar diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harrith Kam berkata, usaha kini sedang dilakukan untuk mengenalpasti identiti pemilik kereta berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 5:10 PM