Skip this ad x
Dua beranak yang menggunakan nama ‘Minah Pendek’ di Facebook ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penghinaan terhadap Institusi Diraja Johor. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Dua beranak ditahan reman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes penghinaan terhadap institusi Diraja Johor melalui laman sosial Facebook (FB).

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Faridatul Farah Shukri selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Suspek lelaki berusia 46 tahun bersama anaknya berusia 17 tahun yang disyaki menghantar mesej berbentuk jelik di FB bertujuan menghina dan menyakitkan hati Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor dan rakyat Johor, tiba di mahkamah pada 2.50 petang dengan masing-masing berpakaian lokap berwarna jingga.

Tahanan reman dibuat bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan terhadap suspek yang juga seorang nelayan dan anaknya kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd menerusi kenyataan media memberitahu, suspek ditahan kira-kira 11 pagi semalam di atas sebuah bot nelayan di tengah laut Perairan Tenggara, Pulau Tioman, dekat sini.

Polis turut merampas dua telefon bimbit dan kad sim.

"Suspek ditahan susulan dua laporan polis dibuat Sabtu lalu pada jam 8.20 pagi dan 9 pagi berhubung penghantaran mesej jelik di FB menggunakan nama 'Minah Pendek'," katanya.

Difahamkan, remaja terbabit ditahan polis di rumahnya di Tanjung Gemok, Endau, dekat sini, susulan penahanan bapanya pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 5:44 PM