Mearia
Mearia
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menjangka memperoleh pertumbuhan bersih dua kali ganda melalui skim Sijil Simpanan Premium (SSP) kepada RM600 juta menjelang akhir tahun ini.

Naib Presiden Kanan atau Ketua Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komuniti Datuk Mearia Hamzah berkata, angka berkenaan didorong oleh pengenalan ganjaran bulanan dengan konsep terbaru iaitu 7 Juta Ringgit, 7 Jutawan dan 7 bulan yang bermula dari Jun hingga Disember 2016.

Beliau berkata, tujuan pembaharuan itu untuk mengalakkan pelanggan baru atau sedia ada menyimpan demi masa depan, sekali gus cara menghargai pelanggan BSN.

“Sehingga kini, BSNSSP merekodkan 2.4 juta pemegang. Dengan pengenalan ganjaran baru yang lebih dinamik dan agresif mengikut kehendak semasa pelanggan, kami yakin mencapai sasaran ditetapkan.

“Melalui inisiatif produk simpanan BSN patuh syariah ini, BSN komited memberikan ganjaran kepada pemegang yang terus-menerus menyimpan dalam akaun SSP bagi menggalakkan orang ramai menabung bersama BSNSSP,” katanya di sini, semalam.

“Terdapat empat kategori cabutan dalam pengenalan konsep baru ini merangkumi Cabutan Istimewa dengan simpanan minimum RM3,000 merebut peluang memenangi RM1 juta, Cabutan Bulanan dengan simpanan serendah RM10 untuk layak memenangi ganjaran utama Mercedes-Benz C200, BMW 320i atau Mercedes-Benz GLC dan Cabutan Remaja untuk mereka berumur dari 12 hingga 17 tahun dengan simpanan serendah RM50 bagi merebut ganjaran iPhone 6 atau akaun BSNSSP bernilai RM300 hingga RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, sejak tiga tahun lalu, BSN menawarkan ganjaran BSNSSP RM1 juta hanya pada cabutan istimewa yang diadakan pada akhir tahun, namun kumpulan berusaha menawarkan ganjaran dalam bentuk lebih relevan mengikut kehendak pelanggan.

“Pertukaran ganjaran dilaksanakan setiap tahun adalah faktor utama mendorong BSN kekal relevan, seterusnya mampu membuatkan kumpulan mengekalkan posisi dalam industri sejak 40 tahun lalu,” katanya.

Mengulas pelaburan ganjaran bagi 2016, dia berkata, tahun ini, BSN memperuntukkan RM18 juta bagi ganjaran keseluruhan kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:11 AM