NAZRI merasmikan MOTN 2016 acara yang punya keajaiban tersendiri.
PENARI kebudayaan yang lengkap dengan pakaian retro menghidupkan malam ‘Retro Magic’.
SUASANA penuh keajaiban malam yang mendamaikan.
FLOTILA Perbadanan Putrajaya yang mengangkat karakter The Four Gees mengujakan.
PERSEMBAHAN tarian dan nyanyian bertemakan retro menghidupkan suasana.
FLOTILA Melaka.
MISS Shophia ikon beli-belah Malaysia antara pengisian di atas flotila Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

Percikan bunga api yang berwarna-warni menerangi ruang udara Anjung Floria, Putrajaya malam itu nyata cukup mengujakan.

Dentuman bunga api yang kuat saat dilepaskan sebaik tirai edisi keenam perarakan bot berhias, Magic of The Night 2016 (MOTN 2016) dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagaikan memberi isyarat, sesuatu meriah bakal disaksikan.

Persembahan tarian menghiburkan dengan penari lengkap berpakaian retro sesuai dengan tema ditonjolkan berserta nyanyian lagu Keajaiban Malam di atas pentas terapung di Tasik Putrajaya itu membuatkan pengunjung mulai mengambil tempat duduk masing-masing.

Tatkala bot berhias atau flotila pertama memulakan pelayaran memperlihatkan keunikannya, tiupan terompet kecil ditambah dengan sorakan pengunjung serta pelancong memecah keheningan malam. Suasana yang tadinya sedikit sunyi bertukar ceria dan cukup meriah.

Itulah suasana yang dirasai saat melihat sendiri perarakan bot berhias yang cukup menakjubkan di MOTN 2016 ini.

Sudah dikenali sebagai acara ‘signature’ pelancongan negara sejak 2011, semua flotila yang mengambil bahagian nyata mengangkat konsep Retro Magic yang menjadi tema untuk MOTN 2016.

Mendahului perarakan bot berhias, dengan membawakan Keajaiban Hutan Hujan, flotila dari Sabah memaparkan keindahan dan keunikan flora serta fauna yang boleh ditemui di dalam hutan hujan negeri di bawah bayu itu.

Menariknya, spesies cicak Agamid yang mempunyai kebolehan bertukar warna dan keupayaan menyamar untuk mengelak serangan pemangsa menjadi teraju utama flotila ini.

Cendawan pendarkilau yang bercahaya dalam gelap, spesies orkid yang endemik dan bunga rafflesia, bunga terbesar di dunia yang turut diperlihatkan di flotila ini melengkapkan lagi keajaiban hutan hujan Sabah.

Flotila Pulau Pinang pula melambangkan keharmonian dan keceriaan masyarakat pelbagai kaum, seni warisan dan budaya melalui keindahan serta keunikan pelbagai jenis flora atau fauna di Pulau Pinang.

Bertepatan dengan tema flotila iaitu Retro Magic, Pulau Pinang membariskan beberapa ‘pemuzik dan seniman’ terkenal termasuk Seniman Agung P. Ramlee, Hail Amir dan Alleycats

Jelas memperlihatkan karakter ‘adik-beradik The Four Gees’ yang diadaptasi daripada empat bangunan agensi kerajaan yang terletak di Presint 4 , flotila Perbadanan Putrajaya nyata mencuri perhatian.

‘Retro Magic of Putrajaya’ ini juga jelas dipamerkan melalui evolusi Retro yang dipersembahkan dengan penuh keunikan pada seni bina bangunan ikonik yang cukup terkenal.

‘Four Gees’ atau singkatan bagi ‘4G’ membawa maksud ‘Four Government offices’ terdiri daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan akhir sekali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat, berdiri penuh bergaya di atas Jambatan Putra, iaitu jambatan pertama yang siap di bina di Presint 1, Putrajaya.

Flotila Johor pula menampilkan keunikan tema ‘Mack Truck’ sebagai kenderaan rasmi Program Kembara Mahkota Johor 2016, Kegemilangan pasukan bola sepak, sejarah harimau selatan dan penampilan khas bunyi ‘gambus’ Angry Birds Activity Parks yang pertama di Asia bagi dikongsikan kemeriahannya ke seluruh negara.

Diiringi 10 bendera rasmi daerah yang mula digunakan sejak 2015 sempena kemahkotaan baginda, lambang penyatuan kedaulatan negeri Johor.

Bertemakan cogan kata Kedah, ‘Where It All Begins’ flotila Kedah membawa penonton meneroka sejarah latar belakang dan pembangunan negeri itu. Ombak dan pokok kelapa menggambarkan geografi Kedah yang kaya dengan keindahan pantai dan hasil laut yang pelbagai.

Masjid Zahir, Menara Alot Setar dan Pancuran Air Bulatan Teluk Wanjah adalah mercu tanda seni bina kebanggan yang menjadi tumpuan pelancong di Kedah.

Helang di atas bola berapi menceritakan Pulau Langkawi dan semangat perkembangan bola sepak di Kedah yang mula gemilang sekitar tahun 1987. 2016 juga adalah Tahun Melawat Kedah.

Dikenali sebagai negeri Che Siti Wan Kembang, flotila Kelantan memaparkan bangunan Muzium Islam Kelantan yang mengetengahkan sejarah Islam di Kelantan. Selain itu, produk lain yang diketengahkan adalah Tugu Kemerdekaan, Menara jam Tuan Padang dan Meriam Zaman British. Beca masih menjadi antara pengangkutan utama di Kelantan. Tahun 2017 pula adalah Tahun Melawat Kelantan.

Dondang Sayang adalah kesenian Melaka, dinyanyikan dalam bentuk berbalas pantun dan disampaikan secara spontan oleh penyanyinya. Justeru itu, flotila Melaka untuk MOTH 2016 ini mempamerkan alat muzik yang digunakan terdiri daripada biola, gong dan rebana.

Keunikan rumah tradisional Melaka yang terletak pada tangga batunya. Kereta lembu Melaka dihiasi dengan perhiasan yang beraneka warna dan mempunyai bumbung yang sama bentuknya dengan tanduk lembu.

Flotila Negeri Sembilan memaparkan keunikan Adat Perpatih yang menjadikan negeri ini unik dari segi adat, budaya dan seni reka bentuk binaannya. Keindahan flora dan fauna yang terdapat di negeri itu yang menggamit pengunjung seperti di Ulu Bendul, FRIM Pasoh, Gua Pelangi dan juga Sg Menyala turut diperlihatkan.

Besar terpampang Hogoh Pahang, flotila Pahang membawakan kegemilangan negeri itu yang bermula dari sebatang pohon mahang yang tumbuh di tebing sungai dan menyimpan kisahnya tersendiri hingga tanah dan sungai itu masing-masing dinamakan Negeri dan Sungai Mahang sebelum bertukar menjadi Pahang.

‘World of Wonders,’ flitila Perak mempesembahkan Kota Belanda yang dibina pada tahun 1670 dan TT5, kapal korek bijih timah yang adalah kilang terapung terletak di Tanjung Tualang.

Flotila ini juga memaparkan Lembah Lenggong yang menjadi Tapak Warisan Dunia, Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Zoo Taiping & Night Safari, Zoo pertama di Malaysia, serta seni bina klasik Stesen Keretapi Tanah Melayu dan persalinan Puteri Perak yang juga pakaian tradisi kepada Puteri Kesultanan Negeri Perak.

Menjadi maskot pelancongan Sarawak, Buaya Bubu menerajui flotila Sarawak diiringi wakil-wakil suku kaum Sarawak termasuk Iban, Bidayuh, Melayu, Cina dan Orang Ulu. Flotila Sarawak juga memaparkan Kucing iaitu lambang Bandaraya Kuching dan Burung Kenyalang, sejenis burung terbesar dan paling luar biasa yang didapati di dalam hutan Tropika Sarawak.

Mengetuai flotila Selangor adalah Super Mikh, lagenda bola sepak Malaysia. Gendang mewakili sokongan moral dan sorakan selepas mencapai kemenangan. Centung Buluh digunakan kaum Mah Meri semasa perayaan mereka.

Turut dipaparkan di atas flotila Selangor ini adalah anyaman daun berbentuk burung dan ukiran kayu suku kaum Mah Meri. Topeng yang dipaparkan ialah Roh Kelolong dan Moyan Lembu juga dihasilkan penduduk Mah Meri. Istana Jugra, istana tertua di Kuala langat serta bunga rasmi Selangor iaitu Bunga Tanjung melengkapkan flotila Selangor dengan tema Terokai Selangor.

Ikon Gajah yang berada di tengah flotila Terengganu mewakili Kenyir Elephent Conservation Santuary. Flotila ini juga memaparkan replika Air Terjun Lasir, ikan kelah dan Toman di Tasik Kenyir. Replika buurng, orkid dan rama-rama juga adalah sebahagian pakej Island Hopping di Kenyir. tarikan terbaru, Kenyir Water Park yang ditonjolkan di sebelah kiri bot bagaikan mempromosikan 2017 sebagai Tahun Melawat Terengganu.

Menjadi flotila terakhir berlayar memperlihatkan kreativiti Retro Magic adalah Flotila Tourism Malaysia yang memperkenalkan Miss Shophia iaitu ikon beli belah Malaysia yang baru dilancarkan pada Mac lalu.

Kepala burung enggang yang eksotik, rama-rama, Gunung Kinabalu, Bangunan Sultan Abdul Samad dan KLCC yang di papatkan di flotila itu melambangkan tarikan pelancongan Malaysia yang merangkumi segenap aspek.

Melihat 14 flotila yang mengambil bahagian itu berlayar di Tasik Putrajaya dengan lampu yang berwarna-warni, ia ternyata sesuatu yang cukup menyeronokkan terutama buat si kecil.

Memulakan perarakan pada 9 malam hingga 10 malam setiap hari hingga 4 Jun ini dan akan berlabuh sehingga 11 malam bagi memberi peluang kepada orang ramai bergambar, menjadi sebahagian daripada pengunjung yang menyaksikan sendiri MOTN 2016 ini adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Justeru, bagi memenuhi kemeriahan cuti sekolah anak, membawa mereka melihat sendiri keajaiban malam yang dipaparkan menerusi MOTN 2016 ini pasti membuatkan mereka pulang dengan senyuman dan meninggalkan kenangan terindah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 10:57 AM