MASIDI (kiri) bersama Jamili (kanan) pada sidang media sempena Ulang Tahun Tragedi Gempa Bumi di Gunung Kinabalu. FOTO Lano Lan
MASIDI (kiri) bersama Jamili (kanan) pada sidang media sempena Ulang Tahun Tragedi Gempa Bumi di Gunung Kinabalu. FOTO Lano Lan
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Satu monumen khas akan ditempatkan di Kiau Gate kira-kira satu kilometer dari Timpohon Gate bagi memperingati ulang tahun pertama tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu, Ahad ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata, seketul bongkah batu gunung yang juga serpihan runtuhan Gunung Kinabalu akan diletakkan di kawasan monumen berkenaan sebagai memperingati tragedi meragut 18 nyawa pada 5 Jun tahun lalu itu.

"Sebagai inisiatif kerajaan untuk memperingati tragedi gempa bumi pada tahun lalu, kita akan melancarkan monumen peringatan pada Ahad ini.

"Monumen khas itu akan ditempatkan berhampiran Kiau Gate iaitu kira-kira satu kilometer dari Timpohon Gate di Taman Kinabalu, "katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais.

Dalam perkembangan berasingan, Masidi berkata 17,274 pendaki dari seluruh dunia direkodkan melakukan pendakian di Gunung Kinabalu sejak ia mula dibuka untuk aktiviti berkenaan pada 1 Disember lalu.

"Daripada jumlah terbabit, 55 peratus adalah pendaki luar negara manakala selebihnya adalah pendaki tempatan.

"Ini sekaligus menunjukkan petanda baik dan impak positif terhadap industri pelancongan kita meskipun terpalit tragedi gempa bumi pada tahun lalu, "katanya.

Tambah beliau, aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu mula dibuka pada 1 Disember 2015 selepas ditutup sementara ekoran kejadian gempa bumi 5 Jun lalu.

Untuk rekod, kejadian gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter pada 5 Jun tahun lalu mengorbankan 18 nyawa melibatkan 14 pendaki dan empat malim gunung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 3:00 PM