IMPIAN Rita usahakan perniagaan makanan tercapai apabila Rumah Kueh kini beroperasi.

Baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan makanan, pelakon Rita Rudaini terus dihimpit masalah apabila ditipu kontraktor yang mengubah suai restoran miliknya di Damansara, Kuala Lumpur.

Rita, 40, berkata, dia cukup kecewa dan kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab kontraktor terbabit.

“Saya mempercayainya berdasarkan nama yang dibawa, tetapi saya sebenarnya tersilap. Semua itu tidak menggambarkan langsung kualiti kerja yang diberikan. Ia sekali gus membuatkan saya lebih berhati-hati dalam perkara ini,”katanya.

Disebabkan itu, Rita terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk mendapatkan khidmat kontraktor lain bagi menyelesaikan kerja yang tertangguh itu.

Menurut pelakon drama Ahli Mesyuarat Tingkap ini, restoran yang sepatutnya beroperasi awal Mac lalu terpaksa ditunda beberapa kali.

Biarpun selepas melakukan perbincangan dan menegur kontraktor terbabit, namun hasil kerjanya tetap sama.

“Apabila kali pertama dimaklumkan proses pengubahsuaian tidak dapat disiapkan mengikut jadual, saya okey lagi kerana tidak mahu mengganggu kerja mereka.

“Namun, apabila sudah memasuki bulan Mei dan perkara sama masih berlaku saya berasakan seperti ada yang tidak kena. Mereka seperti tidak bertanggungjawab terhadap kerja sendiri.

“Selama ini saya mengharapkan yang terbaik daripada mereka. Kalau nak tahu, saya banyak membuang masa dan melabur untuk perniagaan ini. Sehinggakan saya jatuh sakit dibuatnya kerana perlu bermesyuarat dengan mereka hampir setiap malam,” katanya.

Bagaimanapun, kekecewaan ibu kepada dua cahaya mata ini terubat apabila pihak kedua yang mengambil alih tugas berkenaan memberikan hasil terbaik seperti diharapkannya.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu saya. Dalam masa tidak sampai sebulan, saya percaya orang lain tidak sanggup mengambil risiko.

“Alhamdulillah, hasil kerja mereka sangat bagus. Kualiti dan sentuhan diberikan memenuhi cita rasa saya. Biarlah saya rugi untuk permulaan, asal saja ia berbaloi. Boleh dikatakan, mereka adalah penyelamat dalam masalah ini,” katanya.

Akhirnya, impian Rita mengusahakan perniagaan makanan tercapai apabila restoran yang dinamakan Rumah Kueh itu mula beroperasi sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, Rita merancang mengadakan majlis pelancaran restoran itu pada Ramadan atau selepas Aidilfitri.

Mudah percaya

Rita yang sentiasa memberikan komitmen dalam bekerja mengakui mudah mempercayai orang lain.

Jika membabitkan perniagaan, Rita sesekali tidak mahu bersikap sambil lewa.

“Saya mahu menjalankan perniagaan, jadi tidak boleh bersikap asal boleh. Komitmen daripada semua pihak perlu ada bagi memastikan setiap perancangan berjalan lancar.

“Justeru, saya terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon semata-mata nak fokus kepada pembukaan perniagaan ini. Bukan apa, sekiranya berlaku sebarang masalah, sudah pasti operasi perniagaan itu terganggu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rita kini giat dalam menjalani penggambaran telefilem berjudul Penjaga Garisan Itu Suamiku.

Menerusi telefilem ini, Rita bergandingan bersama Fahrin Ahmad. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 5:02 AM