PEGAWAI Taman Negara memeriksa kulit harimau yang dirampas.

Bangkok: Polis semalam menahan sebuah trak membawa kulit harimau dan bahagian lain haiwan itu ketika ia hendak meninggalkan sebuah kuil tempat sami dituduh terbabit dalam pemerdagangan hidupan liar secara haram.

Tidak lama selepas itu, pihak berkuasa menemui 20 botol besar mengandungi harimau muda yang diawetkan di kuil itu, kata pegawai taman negara, sehari selepas 40 bangkai anak harimau ditemui dalam peti beku di situ.

Ia ditemui ketika pihak berkuasa memindahkan 137 harimau hidup, kebanyakannya dewasa dari kuil itu ke pusat perlindungan haiwan selepas menerima perintah mahkamah.

Kuil di Kanchanaburi, wilayah di barat Thailand itu destinasi popular pelancong.

Ia mengenakan bayaran kepada pelawat untuk bergambar dengan harimau, tetapi dikritik aktivis hak asasi haiwan kerana tidak mempunyai kemudahan sempurna dan melanggar peraturan yang melarang pemerdagangan harimau.

Dua lelaki dalam trak membawa kulit harimau itu ditahan dan akan didakwa memiliki hidupan liar secara haram, kata jurucakap polis, Kolonel Bandith Meungsukhum.

Trak itu juga dilapor membawa lebih 700 botol lain mengandungi kepingan kecil kulit harimau dan sejumlah taring haiwan yang disembunyikan di dalam beg pakaian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:16 AM