TERTUDUH dibawa untuk didakwa di Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Lelaki yang dikatakan menumbuk dan menendang adik lelakinya hingga mati pada Selasa lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh.

Tertuduh, Muhamad Rejab Ahmad, 40, yang memakai baju lokap jingga kelihatan tenang dalam kamar tertuduh ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa membunuh adik lelakinya, Mohamad Faddrul Ahmad, 37, di rumah di Taman Bukit Coral, Sikamat di sini, pada 9.15 pagi, Selasa lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Mohd Pisol manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Berita berkaitan:

Berang adik kencing dalam seluar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 1:30 PM