Wanita warga asing disyaki pelacur yang ditahan.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Empat wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelacur ditahan di premis yang dijadikan pusat pelacuran di Jalan Deli, di sini, Khamis lalu.

Dalam serbuan 3.30 petang itu sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) empat wanita warga Filipina dan Indonesia berusia 20 hingga 30-an ditahan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis juga menemui 27 keping kondom, pelincir pelbagai jenama serta tisu yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

Katanya, polis juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an kerana disyaki pelanggan yang datang ke pusat berkenaan untuk mendapatkan perkhidmatan seks.

"Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti pelacuran serta mengaji dan melindungi wanita warganegara asing.

"Siasatan juga mendapati kesemua wanita warga asing itu dijadikan pelacur dan kesemua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke IPDTL untuk tujuan dokumentasi," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba mengeksploitasi mana-mana orang dengan tujuan pelacuran.

"Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau sebatan dan juga dikenakan denda," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 372B kanun yang sama kerana cuba menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 1:38 PM