Tengku Adnan melawat salah satu trak makanan di Kuala Lumpur Food Truck Feast di Dataran Merdeka, hari ini. FOTO Ghazali Kori
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak akan memberi lesen niaga trak makanan kepada 'orang berduit' yang berniat memonopoli perniagaan itu kerana fokus utama adalah penjaja.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) banyak kali menerima permohonan golongan kaya untuk mendapatkan lesen dalam jumlah yang banyak.

"Malah, ada permohonan kita terima sehingga 50 lesen trak makanan daripada 'orang berduit'.

"Dia mahu gajikan pula pekerja untuk menjalankan trak itu kelak.

"Ini kita takkan layan. Kita mahukan pemilik trak yang berniaga bukan sebaliknya... bertentangan dengan sasaran mahukan sifar penjaja jalanan di KL menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kuala Lumpur Food Truck Feast di Dataran Merdeka, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 7:02 PM