MARQUEZ ketinggalan 10 mata di belakang Lorenzo.
MARQUEZ ketinggalan 10 mata di belakang Lorenzo.
AFP

Barcelona: Pelumba Repsol Honda Team Marc Marquez berjaya mengenepikan penyandang juara dan rakan senegara Jorge Lorenzo dengan meraih petak utama pada sesi kelayakan Grand Prix Catalunya di Litar Barcelona-Catalunya semalam.

Marquez berjaya mencatat masa terpantas satu minit 43.589 saat manakala Lorenzo dari pasukan Movistar Yamaha hanya akan memulakan perlumbaan di petak kedua selepas ketinggalan 0.467 saat di belakang.

Musim ini Marquez sudah tiga kali berjaya mengatasi Lorenzo untuk meraih petak utama namun dia masih ketinggalan 10 mata di belakang pencabar utamanya itu untuk kategori keseluruhan.

Ini juga adalah kali ke-61 sepanjang karier Marquez berjaya meraih petak utama dan 33 kali di MotoGP, selepas dia menyambung semula kontrak bersama Repsol Honda bagi tempoh dua tahun.

Seorang lagi pelumba dari Sepanyol Dani Pedrosa (Repsol Honda Team) meraih petak ketiga apabila merakam masa 1’44.307s.

Sementara itu, Valentino Rossi hanya akan memulakan perlumbaan di petak kelima apabila ketinggalan 0.735s.

Marquez, 23, berjaya muncul juara dunia dalam kategori 125cc pada 2010 dan Moto2 dua tahun kemudian, kali pertama dia meraih kejuaraan keseluruhan MotoGP pada 2013 sebelum mempertahankannya setahun selepas itu.

Tahun lalu, dia hanya menamatkan saingan dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan selepas bergelut dengan masalah kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:04 AM