PEMANDU lori, Muhammad Khairul Faizal Abd Wahab, 28 (dua dari kiri) dan keluarganya memeriksa tapak rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Jalan Kilang Gula, Chuping, Perlis sehari sebelum puasa Ramadhan bermula. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Hafizudin Mohd Safar


Padang Besar: Satu keluarga hilang tempat selepas kediaman mereka di Kampung Baru Jalan Kilang Gula, Chuping, di sini, musnah dalam kebakaran.

Mangsa Muhammad Khairul Faizal Abd Wahab, 28, berkata, ketika itu dia yang berada di luar rumah kerana hendak ke Alor Setar, Kedah untuk memperbaharui cukai jalan lori milik majikan yang dipandunya terkejut mendengar jeritan jiran memberitahu rumahnya terbakar.

Menurutnya, dia pada mulanya menyangka isteri dan anaknya berada di dalam rumah dan terus masuk untuk menyelamatkan mereka, namun lega apabila dua anak beranak itu sudah tiada di dalam rumah.

“Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan sahaja sebelum berlari keluar sementara jiran membantu memindahkan kereta dan motosikal.

“Saya bersyukur kami selamat, namun reda dengan ujian ini selepas bakal menyambut Ramadan dan mula berpuasa dijangka esok,” katanya.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Ahmad Haswari Abd Salam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.21 tengah hari sebelum empat jentera dari Balai Bomba Kangar dan Balai Bomba Arau dikejarkan ke tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal jam 12.43 tengah hari dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 6:34 PM