Syafil Syazwan Jefri


Beberapa hari selepas mengejutkan dunia dengan berita perpisahannya bersama kekasih, Calvin Harris, Taylor Swift sekali lagi membuat kejutan apabila muncul pada satu majlis perkahwinan peminatnya.

Tidak hanya hadir sebagai tetamu, Taylor turut menghiburkan semua yang berada di majlis perkahwinan Max Singer dan Kenya Smith di New Jersey itu.

Max adalah peminat setia penyanyi lagu Bad Blood itu dan dia sendiri tidak menyangka menerima kunjungan dan persembahan daripada Taylor.

Semuanya bermula apabila kakak Max menulis surat kepada Taylor sekitar April lalu. Dalam surat itu, kakaknya berkongsi cerita adiknya terlalu meminati Taylor dan bakal mengahwini Kenya.

Max dan ibunya yang sedang sakit waktu itu berkesempatan meluangkan masa menari bersama sambil diiringi lagu Blank Space. Bagaimanapun, ibunya meninggal dunia sebelum hari bahagianya.

Seperti dirancang, penyanyi berusia 26 tahun itu hadir dan mengejutkan semua yang hadir di masjlis itu. Taylor muncul dan terus menuju ke keyboard yang disediakan sambil menyampaikan lagu Blank Space, mengiringi tarian pasangan pengantin baru itu.

Dia kemudian memuat naik gambarnya bersama pasangan pengantin dan beberapa anggota keluarga ke Instagram serta tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah.

Berbalik kepada kisah perpisahannya dengan bekas kekasih, hal itu nampaknya tidak memberi kesan kepadanya.

Taylor sebelum ini berhubungan dengan DJ Calvin, sejak 15 bulan lalu selepas dilihat kali pertama muncul bersama di Brit Awards London pada Februari 2015.

Menurut sumber terdekat penyanyi itu, Taylor mahukan masa depan yang indah dengan lelaki itu.

“Dia sering bercakap mengenai masa depan mereka mereka, perkahwinan dan anak. Calvin bagaimanapun meneruskan hubungan mereka dengan perlahan dan tidak mahu terlalu tergesa-gesa,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan kedua-duanya tidak lagi serasi, mereka membuat keputusan berpisah. Di Twitter, Calvin menulis dan meluahkan perasaannya dan kenyataan itu menerima ‘retweet’ daripada Taylor sendiri.

“Apa yang pasti, hubungan kami sudah berakhir dan apa yang kekal adalah nilai cinta serta hormat di antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 9:35 AM