KALAM (dua dari kanan) bersama anggota Iman Heart dan Hasan.
Mary Victoria Dass


“Ramadan kali ini adalah sesuatu yang baru bagi saya kerana dapat berdakwah menerusi nyanyian melalui pembabitan dalam kumpulan nasyid Iman Heart,” kata bekas penyanyi utama Kumpulan Sup, Shaikh Mohammad Yusuf Shaikh Salim atau lebih dikenali sebagai Kalam, 37.

Shaikh Mohammad Yusuf berkata, dia akan meneruskan perjalanan hidup baru sebagai penyanyi Iman Heart yang ditubuhkan di Johor enam bulan lalu.

Menurutnya, ia sesuatu yang mencabar baginya kerana sebelum ini, dia menyanyikan lagu berirama pop rock.

Bagaimanapun, menurut Shaikh Mohammad Yusuf, dengan sokongan isteri, Norliza Ismail, 50, dan ahli keluarga, dia yakin mampu memberikan hasil terbaik kepada Iman Heart.

“Saya dan ketua kumpulan Iman Heart, Zek Ayry Khan Zarak Khan adalah rakan baik sejak di bangku sekolah dan kerap bertukar pandangan berkaitan bidang nyanyian.

“Awal bulan ini, saya berpeluang bertemu dengannya dan bersetuju menjadi penyanyi bagi album kedua kumpulan berkenaan,” katanya yang juga pelontar lagu Rintihan Jiwa yang popular sekitar 2000.

Shaikh Mohammad Yusuf berkata, berkaitan perubahan penampilannya yang perlu memakai jubah ketika membuat persembahan mewakili Iman Heart, ia bukan sesuatu yang baru baginya kerana dia berdarah kacukan Arab.

“Saya bersyukur kerana buat julung kali membawa lagu berkonsep ketuhanan, keharmonian dan memupuk kesedaran berkaitan akhlak mulia.

“Iman Heart akan tampil membuat persembahan di Fiesta Raya R&R EDL di Pandan dengan menjayakan beberapa kegiatan amal di situ bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, Penganjur Fiesta Raya R&R EDL Hasan Azhari Hashim, 33, berkata, daripada 50 lot perniagaan yang akan beroperasi mulai 6 Jun hingga 5 Julai, pihaknya menyewakan 20 lot secara percuma kepada usahawan kecil-kecilan menerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Menurutnya, tujuan pihaknya adalah untuk membantu golongan berkaitan bagi menambah pendapatan menjelang Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 9:36 AM