ANTARA faktor graduan bekerja di luar bidang kerana permintaan melebihi penawaran. - Gambar hiasan
SITUASI graduan bekerja di luar bidang pengajian adalah normal - Gambar hiasan
GRADUAN lebih membuka mata dan sedar dengan peluang yang terbuka luas untuk mereka. - Gambar hiasan
Nor Hanisah Kamaruzaman

Penambahan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) saban tahun menjadikan bilangan graduan lepasan ijazah di negara ini kian meningkat.

Walaupun ramai graduan yang bekerja mengikut program pengajian yang dipilih namun ada sesetengahnya menceburi alam pekerjaan di luar pengajian mereka.

Menurut Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin, situasi graduan bekerja di luar bidang adalah normal dan bukan perkara baru.

“Pada pandangan saya, keadaan siswa mengikuti jurusan lain namun keluar berkerja di bidang yang berbeza adalah perkara biasa.

“Contohnya, kebanyakan pelajar aliran agama memilih kerjaya seperti guru agama atau pegawai agama namun ada juga yang lepasan universiti dari aliran itu menjadi pegawai tadbir daerah atau pegawai kerajaan. “Malah, ramai juga lepasan universiti memilih untuk menjadi usahawan tapi perniagaan yang diusahakan kebiasaannya lebih dekat dan sesuai dengan kepakaran dimiliki,” katanya.

Dr Mohd Yahya berkata, lebih baik sekiranya apa jua pekerjaan dipilih dapat memanfaatkan ilmu atau pembelajaran yang diperoleh ketika berada di universiti walaupun tidak bekerja di bidang sama.

Faktor

Menurut Dr Mohd Yahya, antara faktor lepasan universiti bekerja di luar bidang adalah kerana permintaan melebihi penawaran.

“Umpamanya dalam satu organisasi mungkin mempunyai 100 jawatan kosong bagi skop kerja ekonomi namun graduan ekonomi yang ada ketika itu adalah 1,000, jadi selebihnya perlu memenuhi kekosongan di bidang lain,” katanya.

Katanya, faktor lain mempengaruhi graduan bekerja dalam jurusan berbeza adalah persaingan yang tinggi.

“Kebiasaannya majikan memilih yang terbaik terutama apabila kekosongan dalam sesebuah institusi itu terhad.

“Jadi menjadi tugas graduan untuk menjadi yang terbaik dan tampilkan yang terbaik sekiranya berminat untuk bekerja dalam bidang yang sama,” katanya.

Ketika ditanya sama ada graduan kini memilih, Dr Mohd Yahya berpendapat siswa dan graduan kini sudah membuka mata dan sedar dengan peluang yang terbuka luas.

“Sebenarnya sudah ramai antara graduan kita bijak mencuri peluang kerana peka keadaan semasa yang kian mencabar.

“Mereka juga sedar dan bersedia untuk bekerja dalam apa jua bidang kerana mahu menyara hidup dan ini juga antara faktor mengapa mereka berkerja di luar bidang atau jurusan,” katanya.

Perancangan

Dr Mohd Yahya memberi pandangan, perancangan memilih haluan kerjaya perlu bermula sejak di tingkatan satu kerana pelajar diberi peluang untuk memilih sekolah mengikut kecenderungan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Pemilihan atau perancangan perlu bermula dengan memilih sekolah ketika berada di tingkatan satu dan apabila selesai Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pelajar juga mempunyai ruang untuk teroka semula keupayaan dan minat kerana terdapat pilihan seperti kolej vokasional,” katanya.

Pelajar yang tamat PT3 juga boleh memilih aliran yang cenderung sekiranya mereka memilih berada di sekolah harian biasa.

Namun, perancangan tidak berakhir di situ kerana pelajar perlu membuka mata untuk memilih bidang pengajian tinggi yang ingin dipelajari setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lepasan SPM boleh pilih sama ada ingin sambung ke Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), asasi atau diploma,” katanya.

Dr Mohd Yahya berkata, pemilihan aliran di peringkat pengajian tinggi dalam menentukan kerjaya di masa depan dan pemilihan harus dibuat dengan bijak dan teliti.

“Mungkin ada lepasan SPM yang bercita-cita untuk menjadi ahli farmasi namun keputusan SPM yang diperoleh tidak memberangsangkan.

“Jadi daripada memilih diploma farmasi, lebih baik memilih diploma sains dan beri tumpuan subjek yang berkaitan farmasi kemudian boleh pilih ijazah sarjana muda dalam farmasi.

“Pendek kata, perancangan perlu teliti dan bermula di peringkat awal bagi mengelakkan graduan keliru atau tidak tahu arah untuk dituju,” katanya.

Katanya, pelajar dan siswa boleh mendapatkan khidmat nasihat dari guru kaunseling atau kaunselor supaya dapat bantu buat pilihan.

“Sebaiknya pelajar dapatkan khidmat nasihat bagi memudahkan mereka untuk memilih laluan pengajian yang bersesuaian kerana dikhuatiri hilang minat dan seterusnya tidak dapat beri yang terbaik dalam pelajaran.

“Ini kerana ada sesetengah siswa yang bertukar program kerana tidak mampu mengikut program diduduki dan ini boleh menyebabkan kerugian wang ringgit dan masa,” katanya.

Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membimbing anak memilih aliran pengajian mahupun kerjaya yang bersesuaian dengan anak.

“Tiada siapa yang lebih mengenali anak selain ibu bapa dan mereka seharusnya menjadi pembimbing dan penasihat supaya anak mereka dapat melakukan sebaik mungkin dalam pembelajaran yang mereka ikuti.

“Kadang kala ibu bapa mahukan yang terbaik hingga terlupa keupayaan anak menyebabkan mereka tidak bertoleransi dan hanya mengikut minat peribadi semata-mata.

“Malang bagi anak kerana tidak dapat memilih program yang dirasakan sesuai dengan mereka menyebabkan ada sesetengahnya mengikut kehendak ibu bapa namun akhirnya bekerja dalam bidang diminati,” katanya.

Dr Mohd Yahya berkata, komunikasi dua hala penting dan pandangan serta minat anak perlu diambil kira kerana diakui bimbingan dan pandangan ibu bapa perlu diutamakan tapi unsur paksaan perlu dielakkan.

Graduan sebagai pembekal kerja

Dr Mohd Yahya turut berpendapat graduan seharusnya meneroka peluang yang sedia ada dengan menceburi bidang usahawan dan perniagaan.

“Sekiranya graduan itu mempunyai minat, kepakaran dan modal jadi lebih baik untuk menjadi usahawan kerana bukan saja dapat menyediakan pekerjaan untuk diri sendiri malah menjadi pembekal pekerja untuk industri.

“Era teknologi kini, tidak mustahil bilangan graduan menjadi usahawan dan pembekal kerja meningkat kerana medium untuk perniagaan kini sudah meluas,” katanya.

Katanya lagi, graduan yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya juga mampu menjadi pembimbing untuk graduan di akan datang dalam menjadikan bidang perniagaan sebagai pilihan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 12:58 PM