Jabatan Peguam Negara sudah mengembalikan kertas siasatan pembelian banglo Ketua Menteri Pulau Pinang kepada SPRM untuk dilengkapkan.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Peguam Negara sudah mengembalikan kertas siasatan berhubung pembelian banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dilengkapkan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ia berikutan penilaian jabatan berkenaan mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu disiasat lanjut bagi melengkapkan siasatan kes ini.

"Kami sudah meneliti dan mengkaji kertas siasatan berkaitan kes penjualan banglo di No 25, Jalan Pinhorn, Pulau Pinang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang diterima dari SPRM pada 26 Mei lalu.

"Selepas meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan itu, jabatan mendapati terdapat beberapa tindakan yang perlu disiasat lanjut bagi melengkapkan siasatan kes ini,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Apandi berkata, hari ini, jabatan sudah mengembalikan kertas siasatan itu untukmembolehkan SPRM melaksanakan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan.

"Jabatan ini juga mengarahkan supaya kertas siasatan ini dikembalikan dalam masa terdekat,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 2:54 PM