PEMAIN Harimau Malaysia, Khair Jones (kiri) meraikan jaringan pertamanya. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
PEMAIN Harimau Malaysia, Khair Jones (kiri) meraikan jaringan pertamanya. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Skuad Harimau Malaysia mara ke pusingan kelayakan ketiga selepas menang bergaya menewaskan Timor Leste 3-0 untuk mencatat agregat 6-0 dalam perlawanan kedua Play-Off Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, malam tadi.

Babak pertama perlawanan menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menjaringkan gol sulung menerusi sepakan Khair Jones ke gawang lawan pada minit ke-15.

Sepakan Khair kepada Hazwan Bakri pada minit ke-28 mencemaskan pasukan lawan, namun ditampan penjaga gol Timor Leste, Ramos Saozinho Ribeiro Maxanches.

Pasukan Harimau Malaysia memperkuatkan barisan pemain apabila menggantikan Khair Jones dengan memasukkan S Chanthuru sebaik babak perlawanan kedua bermula.

Pemilik jersi nombor 12 Harimau Malaysia, Hazwan Bakri menambah gol kedua pada minit ke-58, hasil tandukan ke gol lawan.

Tindakan memasukkan Chanturu nyata memberi kelebihan kepada pasukan Malaysia apabila pemilik jersi nombor 18 itu menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68.

Khamis lalu, pasukan Harimau Malaysia menewaskan Timor Leste 3-0 di stadium sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 12:35 AM