PEMAIN TMS Sri Seremban unggul dalam pertandingan disertai 16 pasukan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Akademi TMS Old Boys mendominasi Karnival Bola Sepak TMS apabila dua pasukannya TMS Sri Seremban dan TMS Palong 7 masing-masing muncul juara dan naib juara di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), baru-baru ini.

TMS Sri Seremban menewaskan TMS Palong 7 2-0 dalam final karnival yang membabitkan peringkat umur bawah 10 tahun.

Karnival anjuran Kelab TMS Old Boys disertai 16 pasukan dari seluruh negeri ini dan menawarkan piala pusingan serta hadiah hamper.

Pengarah karnival Mohd Nor Azam Abdullah berkata, program itu bertujuan mendedahkan pemain peringkat akar umbi dalam kejohanan setaraf dengan mereka dan menguji prestasi semasa.

“Melalui program ini, kelab dapat menguji tahap prestasi dan kemajuan pemain masing-masing sebelum menghadapi kejohanan lebih besar.

“Kami amat berpuas hati dengan penyertaan dan sokongan dari kelab bola sepak akar umbi termasuk kalangan ibu bapa yang menggalakkan anak masing-masing menyertai karnival ini.

“Nyata sekali program ini dapat membantu pemain cilik ini menimba pengalaman bertanding,” katanya.

Sementara itu, kelab berkenaan membuka lembaran baharu dengan melantik bekas pemain remaja dari Senegal, Djim Thiam, 22, sebagai jurulatih untuk tempoh setahun.

Azam yang juga presiden kelab itu berkata, pihaknya berharap pelantikan itu yang bermula April lalu akan dapat membantu kelab berkenaan melahirkan lebih ramai pemain berbakat dari akar umbi.

“Kami komited untuk melahirkan pemain berbakat yang boleh membantu memajukan lagi bola sepak negeri dan negara ini pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:35 AM