FATIN Amirah menyiapkan tempahan jahitan manik.

Sukakan cabaran dan tidak boleh duduk diam menjadi faktor wanita berjiwa kental ini sanggup meninggalkan kerjaya tetapnya yang menjanjikan gaji lebih RM3,000 setiap bulan.

Bukan memilih atau tidak bersyukur, namun pemegang Ijazah Sarjana Sains Perpustakaan ini mahu mencari sesuatu yang memberikan cabaran kepadanya selain mempunyai masa untuk diluangkan bersama keluarga tercinta.

Menurut anak kelahiran Sik, Kedah, Fatin Amirah Abdul Rahaman, 28, tidak dinafikan pada peringkat awal, keputusannya untuk berhenti daripada menjawat jawatan sebagai pustakawan mendapat tentangan hebat daripada keluarga terutama ibu tercinta.

“Mana tidaknya, saya memang belajar dalam jurusan itu sehingga ke peringkat sarjana dan mendapat kerja dalam bidang yang sama namun tekad untuk berhenti demi mengejar impian menguruskan perniagaan dalam talian.

“Semua yang saya lakukan ini disebabkan minat dalam perniagaan dan bercita-cita untuk bergelar usahawan dan jutawan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Fatin Amirah berkata, semuanya bermula apabila dia melakukan kerja sampingan di sebuah butik tempatan di Putrajaya.

“Majikan meminta semua pekerja memberikan idea dan rekaan manik yang akan diletakkan di ruang kedai. Saya mula menunjukkan bakat dan minat dalam bidang jahitan manik sebelum ia menjadi kerjaya saya kini,” ujarnya.

Jahit manik beri kepuasan

Pada mulanya ia seakan-akan tidak masuk akal apabila anak keempat daripada lima beradik itu memilih menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjahit manik jika dibandingkan dengan kerjayanya sebelum ini.

“Hakikatnya saya tidak suka duduk di pejabat berhawa dingin. Saya sukakan sesuatu yang memberi cabaran dan memerlukan saya untuk berfikir juga bergerak.

“Walaupun saya memang minat berniaga namun tidak terfikir untuk menerima tempahan jahitan manik sebelum ini” katanya.

Jahitan maniknya sama ada di baju, tudung, selendang semakin digemari pelanggan dan menerima tempahan di luar jangkaan.

“Saya semakin nekad untuk meneruskan perniagaan ini dengan sentiasa mencari idea baru mencipta rekaan jahitan manik supaya ia bukan saja cantik malah sentiasa terkini.

“Tempahan yang menggalakkan menjadikan saya lebih yakin bidang ini boleh menjanjikan pulangan yang baik,” ujarnya.

Selain jahitan manik, Fatin Amirah juga mengendalikan perniagaan dalam talian bersama kakak iparnya dengan jenama ‘LolipopShawl’.

“Saya memberi sepenuh perhatian dalam mengendalikan perniagaan dijalankan terutama jahitan manik dan syukur rezeki yang diterima di luar jangkaan.

“Walaupun pulangan yang diterima tidak tetap setiap bulan namun apa yang penting adalah kepuasan kerana dapat melakukan apa yang saya suka,” katanya.

Lebih masa bersama keluarga

Selain faktor minat, Fatin Amirah mengakui keputusan untuk menjalankan perniagaan dalam talian itu didorong kerana mahukan lebih masa bersama keluarga tercinta.

“Walaupun saya masih baru dalam bidang perniagaan, tetapi ia memberi satu kepuasan terutama dari segi masa. Saya ingin menghabiskan masa menggembirakan kedua ibu bapa memandang sebelum ini saya banyak berjauhan daripada keluarga,” katanya.

Fatin Amirah menyambung, ibu bapa dan keluarga antara individu yang banyak bersamanya tidak kira pada waktu senang mahupun susah.

“Saya sentiasa cuba menjadi yang terbaik. Ternyata keputusan berhenti bekerja dan menjalankan perniagaan ini membuatkan saya lebih dekat dengan mereka.

“Kini saya ada banyak masa untuk pulang ke kampung menjenguk ibu bapa tanpa perlu berdepan dengan masalah cuti atau timbunan kerja,” katanya.

Menurutnya, dalam perniagaan semuanya perlu diatur sendiri dan memerlukan disiplin yang tinggi bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Syukur dengan apa yang saya lalui kini. Saya berharap perniagaan yang diusahakan ini terutama jahitan manik membuahkan hasil. Ini adalah detik yang menggembirakan apabila dapat melakukan perkara yang disukai dan dalam masa sama berbahagia di samping insan tersayang,” katanya.

Rekaan manik dan perniagaan Fatin Amirah boleh dilihat di laman Facebook LolipopShawl dan Instagram @seribyfatinamirah. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 12:30 PM