SERIUS Remy dan Awie membincangkan babak aksi yang perlu dilakukan.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Mengangkat cerita epik yang dijadikan siri mini dan kemudian dialih ke pentas teater bukan kerja mudah. Ia memerlukan kreativiti luar biasa untuk dilaksanakan, terutama dalam mencanai pelbagai elemen seni pentas, supaya selari dengan kisah yang mahu disampaikan.

Ia cabaran besar buat pengarah, Fatimah Rahmad atau Erma Fatima, 46, yang mengambil keputusan berani mementaskan Takhta 3 Ratu di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 13 hingga 22 Di­sember ini sebelum siri drama dihasilkan itu ditayangkan di Astro Eksklusif bermula Januari depan.

Ditemui di sesi latihan baru-baru ini, Erma menjelaskan, Takhta 3 Ratu adalah persembahan pentas teater epik yang mengangkat fiksyen dengan sejarah hanya sebagai latar.

"Takhta 3 Ratu dimampatkan daripada enam episod dan sebelum ia ditayangkan di kaca TV, saya pentaskan dulu di Istana Budaya.

"Ingin saya tegaskan di sini, pementasan ini bukan sejarah atau saya mahu mengubah sejarah. Paparan membabitkan percubaan rampasan kuasa dilakukan isteri Sultan Mansor (lakonan Azri Iskandar) iaitu Galuh Chenderai Kirana (Izreen Azminda) dan Hang Li Po (Soo Wincci) hinggalah kehadiran Puteri Lela Wangsa (Erra Fazira) menenteramkan kembali keadaan kerajaan Negara Selat itu adalah rekaan semata-mata," katanya.

Erma berkata, dia mendapat ilham apabila membayangkan apa berlaku jika ketiga-tiga isteri Sultan Mansor cuba merampas takhta selepas Chenderai Kirana dan Hang Li Po berasakan cinta dan kesetiaan mereka dikhianati sultan.

Menyaksikan sesi latihan berlangsung, hampir keseluruhan pelakon siri mini Takhta 3 Ratu turut membintangi teater kecuali beberapa watak diganti, termasuk Izreen diganti bintang Indonesia, Feby Febiola.

"Saya baru mendapat perkhabaran baik apabila Feby mahu terbabit dalam pementasan ini untuk beberapa hari, walaupun sesi latihan sangat sing­kat. Dia mahu mencuba dan sebagai pengarah, tentu saya mengalu-alukan pembabitan­nya," kata Erma.

Selain itu, watak kekasih Puteri Lela Wangsa, Megat Panji Alam diwujudkan Erma dan dilakonkan oleh Remy Ishak. Pelakon lain yang turut terbabit termasuk Awie yang memegang watak Tuah, Datuk Rahim Razali, Mior Hashim Manap, Beto Khusairy, Tasha Shila dan Michael Ang.

Jelasnya, Soo Wincci akan meninggalkan pentas Takhta 3 Ratu selama sehari kerana terikat dengan persembahan di Taiwan dan tempat pelakon itu diganti de-ngan pendatang baru.

Pementasan ini turut memberi kelebihan kepada Erma apabila dapat bekerja dengan idolanya, Rahim Razali dan Mior Hashim.

"Bayangkan hampir 20 tahun lalu, Rahim mengarah saya dalam pementasan teater Kelas 2020 dan kali ini saya pula mengarah dia. Saya berterima kasih kerana Rahim banyak mengajar dan membantu saya mengarahkan teater ini, terutama membabitkan adat istiadat istana. Saya bertuah kerana ada yang sudi memberi tunjuk ajar," katanya.

Tambah Erma, dia perlu berhati-hati memaparkan adat istiadat istana kerana sebarang kesilapan boleh menimbulkan salah tanggapan. Begitu juga dengan pengucapan dialog.

Sepanjang sesi latihan, Erma sangat teliti, malah tiada satu patah perkataan pun boleh ditinggalkan pelakon.

Tegasnya, bahasa istana sangat indah, oleh itu setiap pelakon harus komited dan jika tersalah melontar dialog, ia boleh merosakkan penghayatan penonton.

Sementara itu, Remy yang sudah lama tidak beraksi di pentas teater nyata teruja apabila dipelawa menjayakan Takhta 3 Ratu.

Katanya, antara sebab mengapa dia menerima tawaran Erma adalah kerana mahu mencari kepuasan, malah sewaktu menyatakan persetujuan dia langsung tidak memikirkan soal bayaran.

"Saya rindu hendak beraksi di pentas Istana Budaya. Justeru tawaran menjayakan Takhta 3 Ratu umpama bulan jatuh ke riba.

"Menerusi projek ini saya dapat bergandingan dengan ramai nama besar dan saya mahu cari kepuasan," katanya.

Menerusi pementasan ini Remy turut menunjukkan kemahirannya dalam pencak silat dan ia dapat disaksikan dalam babak pertarungannya bersama Awie. Begitu juga Erra apabila perlu menunjukkan ketangkasan dalam pertarungan silat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:00 AM