AMAR ROHIDAN
FITRI
Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mempunyai kurang dari dua bulan untuk menyelesaikan tunggakan gaji lima bekas pemain sebanyak RM355,709,25 sebelum tindakan tegas bakal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mesyuarat Jawatankuasa Status badan induk itu semalam mengarahkan KAFA membayar RM75,179.50 sebelum 30 Jun ini manakala baki RM280,529.75 perlu dijelaskan sebelum 30 Julai bagi mengelak kes berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Abd Aziz Yeop Jamaluddin yang mempengerusikan mesyuarat itu, keputusan diambil berdasarkan bukti serta penjelasan kedua-dua pihak.

“Bayaran pertama RM75,179.50 perlu dibayar KAFA sebelum 30 Jun ini, berdasarkan perjanjian awal dipersetujui. Walaupun ada bayaran berjadual, kita tak akan pakai dan baki RM280,529.75 harus dibayar KAFA pada atau sebelum 30 Julai.

“Jika masih gagal dilunaskan kami akan rujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib. Harap KAFA dapat jelaskan segala bayaran supaya isu ini tidak dibangkitkan lagi,” katanya selepas mesyuarat itu semalam.

Isu tunggakan gaji bekas pemain Kelantan Amiridzwan Taj Tajuddin, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Fitri Omar dan Muhammad Nazri Ahmad gagal diselesaikan KAFA biarpun sebelum ini mereka berjanji untuk membayar secara berjadual 15 April lalu.

Mengikut perjanjian sebelum ini, KAFA diberikan tempoh 90 hari untuk menyelesaikan tunggakan bayaran sehingga tarikh akhir 11 Mei ini. Bagaimanapun ia gagal dipatuhi.

Beberapa pihak mencadangkan agar hukuman seperti pemotongan mata, tidak membenarkan mendaftar pemain baru pada tempoh perpindahan, diturunkan ke liga bawah serta paling berat membatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia (Liga M) dikenakan berikutan kedegilan persatuan berkenaan.

Sementara itu tiga lagi kes turut dibincangkan dengan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kemungkinan bakal berdepan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila ejen Ricky Benn Swan mahu membawa kes tuntutan sebanyak RM841,500 sebagai yuran ejen pemain import Erick Lewis.

“Beliau (Ricky) mendakwa Erick Lewis di bawah kendaliannya tapi apabila Erick Lewis menandatangani kontrak tidak melaluinya, beliau menuntut ganti rugi.

“Jawatankuasa Status sudah menolak tuntutannya sebelum ini tapi beliau mahu membawa kes itu kepada FIFA. Jadi terpulang kepada FIFA untuk buat keputusan,” kata Aziz.

Sementara itu, Jawatankuasa Status turut mengarahkan ejen pemain Afandi Jagan supaya berbincang semula dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tuntutan RM60,000 sebagai bayaran ejen pemain kepada pasangan kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd Radzak dalam tempoh 14 hari.

Pemain KLSPA Hisamuddin Othman pula perlu mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi menyelesaikan tunggakan gaji dua bulan pada Ogos dan September tahun lalu berjumlah RM4,000 dalam tempoh 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 9:53 AM