BERSAHUR penting kerana memberi kesegaran kepada mereka sepanjang hari.
Siti Zarinah Sahib


Melihat si kecil berpuasa tentunya sebagai ibu bapa ada rasa belas kasihan di hati. Tambahan pula sekiranya dia berulang-kali meminta untuk berbuka disebabkan tidak tahan pada hari pertama berpuasa.

Menurut Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melatih anak berpuasa.

Walaupun ia diwajibkan ke atas kanak-kanak baligh iaitu 13 tahun ke atas bagi lelaki dan lapan atau sembilan tahun bagi perempuan, namun begitu pada usia tujuh tahun mereka sepatutnya dilatih berpuasa.

“Namun ia bukanlah dengan menggunakan paksaan. Sebaliknya dilakukan secara bertahap bermula dengan berpuasa separuh hari, kemudian sehingga Asar dan keesokannya pasti mereka dapat berpuasa penuh. Ini dapat dilihat menerusi keadaan badan mereka sendiri. Jika sehingga mahu pitam atau muntah biarkan mereka berbuka puasa,” katanya.

Tambahnya, berpuasa bukanlah untuk melihat siapa paling kuat atau hebat. Namun Nabi Muhammad SAW juga tidak mahu melihat umatnya lemah dan tidak produktif ketika berpuasa.

Bagi kanak-kanak walaupun berpuasa mereka masih boleh ke sekolah belajar sehingga ke petang dan kembali meneruskan aktiviti di rumah. Dalam erti kata lain berpuasa tidak menghalang kanak-kanak untuk kekal aktif dan sihat dengan cara menjaga pemakanan.

Latih anak-anak bersahur

Bersahur sangat penting. Sebab itu Rasulullah SAW menganjurkan bersahur walaupun hanya minum segelas air sebelum aktiviti menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari. Bersahur bukanlah pada malam hari, tetapi bermula awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan solat Subuh.

Bersahur penting kerana memberi kesegaran kepada kanak-kanak supaya mereka dapat menghabiskan hari siang dengan berpuasa.

Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah saw bersabda: “Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.” (HR: al-Bukhari).

Jelas Asyraf, sebagai ibu memang ada rasa gusar di hati setiap kali mengejutkan anak bangun sahur kerana mereka tidak terbiasa bangun awal.

“Setiap ibu mungkin ada cara tersendiri mengejutkan si kecil bangun sahur. Mungkin dengan memegang ibu jari atau membisikkan di telinga anak atau mungkin juga memanggil nama anak. Terpulang kepada cara masing-masing.

“Mungkin pada hari pertama ada yang tertidur di meja sambil ibu menyuapkan makanan. Ada pula sehingga terpaksa didukung atau dipapah ke meja makan.

“Pada hari berikutnya apabila bersahur menjadi amalan ia tidak lagi menjadi kesukaran,” katanya.

Paling penting ibu harus menyediakan makanan kegemaran yang berkhasiat ketika sahur.

Sediakan makanan berserat, mempunyai kalsium, karbohidrat dan protein. Biar mereka makan banyak ketika sahur supaya kekal bertenaga keesokan harinya.

“Ketika sahur berikan mereka segelas susu untuk lebih kalsium supaya bertenaga. Memandangkan mereka bersekolah, bagi mereka tidur sebentar selepas Subuh untuk kembali segar ke sekolah,” nasihat Asyraf.

Menyegerakan waktu berbuka

Ibu bapa bekerja pula digalakkan pulang awal ke rumah supaya dapat menyediakan hidangan berbuka terutama yang menjadi kesukaan anak.

Kemudian mungkin boleh diberikan kepada jiran supaya anak dapat merasai keseronokan berpuasa dan berbuka.

Sementara menunggu waktu berbuka, ibu bapa boleh berkongsi cerita dan keberkatan Ramadan. Ceritakan kesengsaraan kanak-kanak di negara lain. Walaupun penuh kesusahan, namun mereka kuat dapat berpuasa dan Allah menyukai Mukmin yang kuat, tidak malas dan sabar.

Apabila waktu berbuka, segeralah berbuka puasa kerana perbuatan ini sangat mendatangkan kebaikan.

“Mulakan dengan makanan yang manis kerana Nabi sendiri memulakan berbuka dengan dengan rutab, amar (kurma) atau air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering. Ini kerana makanan manis dapat mengembalikan tenaga dan badan kembali segar,” katanya.

Makan sedikit demi sedikit dan tidak berlebih-lebihan. Ini sangat penting supaya mereka dapat mengerjakan solat Maghrib dan Tarawih berjemaah di masjid.

Kemudian pastikan mereka tidur awal agar mudah bangun sahur. Sekali lagi bekalkan mereka dengan segelas susu sebelum tidur untuk kekal bertenaga keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 10:12 AM