Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret. FOTO Fuad Hadinata Yaacob
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Juruteknik kapal terbang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan membabitkan pengganas militan Daish.

Tertuduh, Nor Hafizy Che Meh, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Dalam pertuduhan pertama, Nor Hafizy didakwa menggalakkan keahlian di dalam kumpulan pengganas Daish.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Lot 6846-F, Lorong Kemboja, Kampung Melayu Subang antara Disember 2013 hingga Oktober 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membenarkan perjumpaan diadakan di dalam rumah terbabit pada tempoh masa sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130G(b) Kanun Keseksaan (KK) dan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 130H KK.

Bagi setiap pertuduhan sabit kesalahan boleh dihukum penjara 30 tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Selangor, Roslan Mat Nor.

Mahkamah menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 1:14 PM