BERSAMA isteri yang kini hamil enam bulan.

Kurang tiga bulan dari sekarang, vokalis kumpulan Bunkface, Sam bakal melalui fasa baru dalam hidup apabila isterinya, Aida Azira Husin akan melahirkan anak sulung mereka.

Penyanyi yang popular dengan lagu Malam Ini Kita Punya ini berkata, usia kandungan Aida sudah mencecah enam bulan dan dijangka bersalin pada 9 September nanti.

Justeru itu, setap hari dia berdebar dan teruja menanti detik paling membahagiakan bagi seorang lelaki apabila bergelar bapa.

Biarpun tidak sabar menanti kelahiran anak pertama, sehingga kini pasangan itu belum mengetahui jantina bayi yang bakal dilahirkan.

“Syukur, tak lama lagi saya akan jadi bapa. Sudah tentu saya sangat gembira dan teruja untuk menyambut kelahiran anak pertama.

“Bagaimanapun, sehingga kini saya belum tahu jantina bayi kerana mahu ia jadi kejutan. Saya serahkan kepada isteri untuk mengumumkanya.

“Terus terang, saya tidak kisah sangat soal jantina asalkan sihat, itu sudah cukup,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Sam, dia dan isteri memilih untuk menjaga privasi anak yang bakal dilahirkan nanti.

“Saya mahu zuriat kami membesar secara normal seperti anak orang lain. Bagaimanapun, tidak bermakna saya sorok anak kerana tetap berkongsi gambarnya untuk tatapan peminat.

“Kalau tanya sama ada saya akan membuka akaun Instagram rasmi untuknya nanti, ia tidak mungkin berlaku. Bagi saya, dia berhak menikmati kehidupan privasi dan menjalani kehidupan sederhana,” katanya.

Sam dan Aida bernikah pada 25 April tahun lalu di Dewan Safura, Seri Kembangan, Selangor.

Dalam perkembangan lain, Sam memberitahu, kumpulan Bunkface bakal berkolaborasi dengan band popular Indonesia, Nidji menerusi lagu Kembali yang akan dimuatkan dalam album Malam Ini Kita Punya. Single itu akan dirakam dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 8:16 AM