BAILLY (kiri) jadi pemain pertama dibeli Mourinho.
AFP

Manchester, England: Pertahanan tengah berbakat besar Ivory Coast Eric Bailly muncul pemain pertama dibeli Jose Mourinho bersama Manchester United semalam dari kelab Sepanyol Villarreal.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang memenangi Piala Negara Afrika 2015, menandatangani kontrak empat tahun bergantung kepada permit kerja dan akan membabitkan kos £30 juta (RM175 juta).

Bailly, yang berpindah ke Sepanyol pada usia 17 tahun apabila menyertai Espanyol, memukau musim lalu ketika Villarreal hanya dibolosi 35 gol dalam 38 perlawanan liga selain turut layak ke separuh akhir Liga Europa.

“Eric seorang pertahanan tengah muda dengan bakat hebat semula jadi,” jelas Mourinho, yang menggantikan Louis van Gaal bulan lalu selepas pengendali Belanda itu gagal membantu United layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Bakatnya berkembang baik setakat ini dan berpotensi menjadi antara yang terbaik.”

Bailly, yang beraksi 15 kali bersama Elephants berkata, bekerja dengan Mourinho amat penting bagi perkembangannya menjadi pemain yang lebih bagus.

“Satu impian menjadi kenyataan menyertai Manchester United,” kata Bailly, kontraknya termasuk pilihan untuk disambung selama dua tahun. “Untuk bermain bola sepak di peringkat tertinggi sesuatu yang saya idamkan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 10:25 AM